Mustapha Dekati Masyarakat Menerusi Ziarah Kasih Dan Program Pendidikan

JEMPOL, 10 Feb – Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Mustapha Nagoor meneruskan komitmen mendekati rakyat apabila berkesempatan menziarahi Abu Koming di Felda Serting Hilir 5 yang baru-baru ini terlibat dalam kemalangan di kawasan perkampungan Felda Serting Hilir Kompleks.

Jelasnya, kunjungan Ziarah Kasih tersebut dilakukan sebagai tanda keprihatinan serta sokongan moral kepada mangsa dan keluarganya, di samping mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan yang segera.

“Ziarah ini sebagai tanda sokongan moral buat saudara Abu dan keluarga. Saya mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan yang segera, dipermudahkan segala urusan serta terus tabah menghadapi ujian ini. Mudah-mudahan kehadiran kami sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan menguatkan semangat,” katanya.

Beliau turut mengajak masyarakat setempat agar terus mengamalkan semangat keprihatinan serta saling membantu khususnya kepada mereka yang ditimpa musibah.

Sehari sebelum itu, Mustapha berbesar hati menerima jemputan sebagai perasmi Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Serting Hilir Kompleks Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Ujana Ilmu.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau melahirkan rasa kagum terhadap kehadiran ibu bapa yang amat memberangsangkan, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi mereka terhadap pendidikan dan masa depan anak-anak.

“Penglibatan aktif ibu bapa bersama pihak sekolah amat penting dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang kondusif serta melahirkan generasi pelajar yang berdisiplin, berilmu dan berakhlak mulia,” katanya.

Beliau juga berharap kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa akan terus diperkukuh demi kecemerlangan pendidikan di kawasan tersebut. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO