KPK Galak Pekebun Fokus Penghasilan Lada Premium – Noraini

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan kementerian sentiasa prihatin terhadap cabaran dihadapi oleh para pekebun kecil lada, terutama kenaikan kos input pertanian yang menjejaskan pendapatan dan daya saing dalam pasaran.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata rentetan itu KPK melalui Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah melaksanakan beberapa inisiatif penyaluran bantuan secara bersasar di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) bagi tempoh 2021 hingga 2025.

“Pelaksanaan inisiatif ini diteruskan di bawah RMK13. Sebagai contoh, di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) RMK13, beberapa inisiatif telah dan sedang dilaksanakan antaranya Program Kemampanan Penanaman Lada di Malaysia telah menerima kelulusan peruntukan berjumlah RM16 juta bagi tahun 2026.

KPK menyedari cabaran berkaitan kos input pertanian khususnya baja yang semakin meningkat. Sehubungan itu, MPB menggalakkan para pekebun agar memberi fokus kepada penghasilan lada premium seperti Lada Berkualiti Eksport dan Lada Putih Krim yang mampu mencapai harga sehingga RM65,000 satu tan metrik di pasaran.

“Pendekatan ini bertujuan membolehkan pekebun menikmati pulangan yang lebih baik melalui harga premium yang ditawarkan,” katanya.

Noraini berkata demikian ketika ketika penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Menyentuh berkenaan sawit negara, beliau berkata kerajaan kini memfokuskan usaha untuk menambah hasil pengeluaran melalui pendekatan strategik yang menekankan peningkatan produktiviti, antaranya menerusi pelaksanaan program tanam semula bersasar seperti Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0).

Katanya kerajaan juga telah menyediakan Program TSPKS 2.0 untuk pekebun kecil menggantikan tanaman sawit yang telah tua iaitu melebihi 25 tahun dan tidak produktif.

“Bagi tujuan ini, sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan pada tahun 2024, RM50 juta pada tahun 2025 dan RM50 juta bagi tahun 2026. Pada masa kini, pelaksanaan program Skim Insentif Pembiayaan TSPKS 2.0 dilihat telah membantu untuk meningkatkan kadar tanam semula negara daripada 2 peratus pada tahun 2024 kepada 3.4 peratus pada tahun 2025.

“Sejajar dengan komitmen tersebut, buat masa ini kerajaan tidak memberi bantuan kepada penanaman sawit baharu. Walau bagaimanapun, bagi tanah terbiar yang telah diteroka sebelum 31 Disember 2019, aktiviti penanaman sawit masih dibenarkan tertakluk kepada peraturan dan pematuhan sedia ada,” ujar beliau. – UMNO Online

 

 

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO