Program Semarak Sihat X Johor Bersih Tingkat Kesedaran Kesihatan – Haslinda Saleh
KUALA LUMPUR, 9 Feb – Program Semarak Sihat X Johor Bersih Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang berjaya dilaksanakan dengan penyertaan serta sokongan padu masyarakat setempat, sekali gus mencerminkan tahap kesedaran rakyat terhadap kepentingan kesihatan dan kebersihan persekitaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Saleh berkata, program inisiatif Kerajaan Negeri Johor itu bertujuan memperkukuhkan kesedaran rakyat terhadap penjagaan kesihatan secara menyeluruh, meliputi aspek fizikal, mental dan kesejahteraan emosi, di samping memupuk budaya kebersihan dalam kalangan komuniti.
“Sepanjang pelaksanaan program ini, pelbagai aktiviti bermanfaat telah dijalankan seperti saringan kesihatan, pameran, ceramah dan kaunseling kesihatan, aktiviti riadah, senamrobik serta gotong-royong Johor Bersih, yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada warga DUN Tenang dan Labis.
“Kesedaran, ilmu dan nilai-nilai murni yang diterapkan melalui program ini dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian masyarakat, sekali gus melahirkan komuniti yang lebih sihat, berdisiplin dan bertanggungjawab.
“Begitu juga kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor, agensi pelaksana dan masyarakat setempat akan terus diperkukuhkan demi memastikan agenda kesihatan, kebersihan dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan dan berimpak tinggi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Wanita UMNO turut menegaskan bahawa program seumpama itu wajar diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang bagi memastikan kesedaran terhadap gaya hidup sihat terus disemai dalam kalangan rakyat.
“Program seumpama ini wajar diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang demi melahirkan masyarakat yang sihat, bersih dan sejahtera selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Johor,” ujarnya.
Dalam pada itu, Haslinda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan, khususnya agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, petugas kesihatan, rakan strategik, sukarelawan serta seluruh warga DUN Tenang atas sokongan dan kerjasama yang diberikan. – UMNO Online
