Pertemuan Malaysia-India Buka Ruang Perbincangan Menyeluruh

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Pertemuan antara Malaysia dan India telah membuka ruang perbincangan menyeluruh berkaitan hubungan dua hala termasuk kerjasama dalam pelbagai bidang, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO memaklumkan satu majlis rasmi untuk meraikan lawatan delegasi Republik India telah diadakan pada Ahad.

“Pada Ahad telah menghadiri majlis sambutan rasmi untuk meraikan lawatan TYT Narendra Modi, Perdana Menteri Republik India di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya.

“Selesai memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) di Dataran Perdana, beliau kemudiannya mengetuai delegasi India bagi perbincangan dua hala bersama delegasi Malaysia yang diketuai YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Jelasnya, pelbagai perkara telah dibincangkan termasuklah hubungan perdagangan, pelaburan, pertahanan dan juga isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Alhamdulillah, pertemuan ini membuka ruang perbincangan menyeluruh berkaitan hubungan dua hala Malaysia–India, termasuk kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan; pertahanan dan keselamatan, tenaga kerja, pelancongan, kesalinghubungan, pertanian, pendidikan … di samping isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Turut mewakili Kerajaan Malaysia bagi enam pertukaran perjanjian persefahaman (MoU) bersama TYT Dr S. Jaishankar, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri India, disaksikan pemimpin kedua-dua negara,” katanya lagi.

Untuk rekod, lawatan rasmi Perdana Menteri Republik India, TYT Narendra Modi ke Malaysia pada 7 hingga 8 Februari 2026 adalah merupakan antara kunjungan penting dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin sejak 1957.

Lawatan ini juga menyusuli peningkatan taraf hubungan Malaysia–India kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2024.

Hubungan ekonomi Malaysia-India juga terus menunjukkan perkembangan positif dengan nilai perdagangan dua hala mencecah sekitar RM79 bilion, sekali gus mencerminkan kepentingan India sebagai antara rakan dagang utama Malaysia.

Lawatan ini turut menegaskan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama serantau, menangani isu keselamatan bersama termasuk keganasan rentas sempadan, serta memperluas hubungan ‘rakyat-ke-rakyat’ yang menjadi asas kepada hubungan strategik Malaysia-India. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO