Pengundi Muda Jadi Lambang Kesetiaan Dan Semangat Juang UMNO – Reezal Merican

KEPALA BATAS, 9 Feb – Lebih 150 pengundi muda dan ahli UMNO baharu dari seluruh Parlimen Kepala Batas berkumpul dalam Majlis Perjumpaan Bersama Pengundi Muda dan Ahli UMNO Baharu yang diadakan di Dewan Kapokasmara, Bandar Putra Bertam, semalam.

Majlis yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, berjaya menghimpunkan generasi muda yang bersemangat untuk menyertai perjuangan parti.

Menurut Reezal Merican, penyertaan pengundi muda dan ahli baharu bukan sekadar menjadi anggota sebuah organisasi, tetapi merupakan lambang kesetiaan, semangat juang dan komitmen tulus untuk berkhidmat demi agama, bangsa dan tanah air.

“Saya amat berbesar hati melihat kehadiran lebih 150 pengundi muda dan ahli UMNO baharu pada hari ini. Penyertaan mereka adalah simbol bahawa semangat juang dan kesetiaan terhadap perjuangan UMNO terus mekar di kalangan generasi baharu,” kata beliau menerusi hanataran di laman Facebooknya.

Beliau menambah bahawa pertemuan ini juga menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara pimpinan parti dan ahli serta menyemarakkan semangat Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat di seluruh Parlimen Kepala Batas.

“Alhamdulillah, pertemuan ini berjalan dengan lancar. Insya-Allah, langkah ini akan menjadi titik permulaan kepada sebuah perjalanan yang bermakna, memperkukuh saf perjuangan serta memberi manfaat kepada rakyat,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO