Masalah Sungai Melimpah Di Kg Mempikit, Nik Mohd Nadzri Turun Padang

KENINGAU, 9 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi, telah turun padang bagi meninjau keadaan sungai di Kampung Mempikit yang sering mengalami masalah limpahan air akibat culvert tersumbat.

Lawatan tersebut dibuat susulan aduan yang diterima daripada penduduk kampung yang terkesan dengan masalah berkenaan, khususnya ketika hujan lebat yang menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan penempatan dan mengganggu aktiviti harian penduduk.

Menurut Nik Mohd Nadzri, hasil tinjauan mendapati culvert di kawasan berkenaan dipenuhi mendapan pasir, kayu serta sisa-sisa lain yang menghalang aliran air, sekali gus menjadi punca utama kejadian limpahan sungai. Beliau turut memaklumkan bahawa sungai tersebut kali terakhir diselenggara pada tahun 2009, sekali gus membuktikan masalah ini bukan isu baharu, sebaliknya telah berlarutan sekian lama dan memerlukan tindakan segera.

“Saya telah menerima aduan daripada penduduk Kampung Mempikit mengenai masalah air sungai yang kerap melimpah. Hasil tinjauan hari ini mendapati culvert di kawasan ini tersumbat dan perlu diberi perhatian segera. Sungai ini pula kali terakhir diselenggara pada tahun 2009, jadi jelas ia bukan masalah baharu. Saya akan membawa perkara ini kepada pihak berkaitan supaya tindakan pembersihan dan pembaikan dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Keningau merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah turut menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa menjadi keutamaan, selain komited memastikan masalah berulang seperti ini dapat dikurangkan melalui penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.

Sementara itu, penduduk Kampung Mempikit memaklumkan bahawa jalan utama sering terputus apabila paras air meningkat, menyebabkan mereka terpaksa menggunakan laluan alternatif melalui kawasan berbukit dan kampung berdekatan yang hanya sesuai untuk kenderaan pacuan empat roda, malah menyukarkan pergerakan harian termasuk urusan kecemasan serta perjalanan murid ke sekolah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO