Lesen Motosikal B2 Percuma Untuk Belia & B40: Inisiatif DUN Parit Yaani 2026

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Dalam usaha membantu golongan muda dan B40 meningkatkan kebolehgerakan serta peluang pekerjaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri melancarkan Program Lesen Motosikal B2 Percuma DUN Parit Yaani 2026.

Program khas ini dibuka kepada warga Parit Yaani khususnya belia, pelajar dan golongan B40 yang belum mempunyai lesen memandu. Ia merupakan inisiatif tanggungjawab sosial yang dilaksanakan bagi memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.

“Program ini bukan sekadar tentang lesen memandu, tetapi lesen untuk masa depan. Ia membantu anak muda memperkukuh potensi diri, memudahkan urusan harian dan membuka peluang mencari rezeki dengan cara yang sah serta selamat,” kata Datuk Najib dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, program ini menawarkan lesen motosikal B2 secara percuma kepada 100 peserta terawal yang layak, dengan borang permohonan boleh diperoleh di Pejabat ADUN Parit Yaani dan tarikh tutup pendaftaran adalah 13 Feb ini..

Najib seterusnya menjelaskan, program berkenaan dirangka sebagai sebahagian daripada pendekatan berfasa bagi memperkukuh pembangunan modal insan di kawasan Parit Yaani.

“Inisiatif tersebut juga selari dengan hasrat kerajaan untuk membantu rakyat melalui program berasaskan komuniti, dengan keutamaan diberikan kepada kumpulan sasar yang memerlukan.

“Siapa cepat, dia dapat. Saya menyeru anak muda Parit Yaani untuk segera memohon dan jangan lepaskan peluang ini. Ini satu langkah kecil yang mampu memberi impak besar dalam kehidupan mereka,” katanya.

Syarat Permohonan:
✅ Warganegara Malaysia dan pengundi DUN Parit Yaani atau DUN Parit Raja
✅ Berumur 16 tahun ke atas
✅ Terbuka kepada pemuda, puteri dan anak muda Sri Gading
✅ Kategori B40 atau penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR)
✅ Sihat fizikal dan mental
✅ Belum memiliki sebarang lesen memandu
✅ Tidak disenarai hitam oleh Mahkamah, JPJ atau PDRM
✅ Keutamaan diberikan kepada Kadet JPJ, pelajar sekolah dan pelajar IPT

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO