KPT Jamin Kebajikan Pelajar OKU, Guru Tingkatan Enam

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan pihaknya sentiasa memberi perhatian serta peka terhadap kesejahteraan para pelajar daripada golongan orang kurang upaya (OKU).

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata bagi memastikan keperluan kelompok tersebut sentiasa terpelihara, pelbagai langkah dan usaha giat dilaksanakan di peringkat kementerian dan institusi pendidikan tinggi.

“Ia termasuklah pemberian pengecualian yuran pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada pelajar OKU susulan pengumuman Perdana Menteri ketika meluncurkan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 baru-baru ini.

“… dan ini termasuk juga bagi mereka yang mengikuti kursus di politeknik dan kolej komuniti. Kedua, penyediaan laluan khas bagi permohonan calon OKU ke IPTA.

“Ketiga, penubuhan unit perkhidmatan dan sokongan OKU. Ketiga, pengwujudan garis panduan pelaksanaan dasar inklusif OKU di institusi pendidikan tinggi, penubuhan Task Force OKU dan juga termasuk pembangunan dasar inklusif OKU di peringkat pendidikan tinggi,” katanya.

Dr Zambry berkata demikian ketika Penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau lagi, turut disediakan kemudahan dan infrastruktur mesra OKU, bantuan kebajikan dan psikososial.

“Dengan kata yang lain, sentiasa komited dalam memastikan keseimbangan pasaran kerja untuk diberikan juga kepada golongan OKU,” ujar beliau.

Dalam pada itu beliau turut menyentuh berkenaan kebajikan guru-guru tingkatan enam yang terlibat dalam pemindahan tadbir urus program tingkatan enam daripada Kementerian Pendidikan (KPM) ke KPT.

Menurutnya Jawatankuasa Pemandu Bersama Tingkatan Enam dan Matrikulasi antara KPT dan KPM telah ditubuhkan yang berfungsi meneliti proses kesinambungan pendidikan dan menilai semua aspek yang berkaitan ke arah untuk mengoptimumkan sumber sedia ada.

“Sehubungan itu, langkah yang sewajarnya sedang dirangka bagi tujuan pemindahan ini termasuk urusan pemindahan berkaitan perundangan, kebajikan, kewangan, perjawatan, sistem dan aset. Jadi dalam konteks kebajikan ni, kementerian akan memastikan prinsip no less favorable akan dirujuk.

“Maknanya kita tidak akan mengkesampingkan mereka disebabkan oleh perubahan yang berlaku ini. Semua aspek akan kita ambil kira.

“Ini termasuklah proses pemindahan tadbir urus termasuk dari aspek perjawatan dan perkhidmatan guru-guru tingkatan enam akan diperhalusi dengan teliti oleh Jawatankuasa serta dibantu oleh agensi-agensi pusat seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO