Jangan Kaitkan Isu Kebebasan Bersuara Dengan Zaman BN – Mohd Razlan
KUALA LUMPUR, 9 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menegaskan supaya isu kebebasan bersuara tidak dikaitkan dengan era pemerintahan Barisan Nasional (BN), kerana ketika itu rakyat masih bebas menyuarakan pandangan tanpa dikenakan tindakan penjara.
Menurut beliau, sepanjang BN mentadbir negara, pelbagai perhimpunan awam pernah berlaku termasuk di Dataran Merdeka, namun tiada individu dipenjarakan hanya kerana menyertai demonstrasi.

“Jangan kaitkan dengan zaman BN. Waktu itu kamu boleh bergolek di jalanan, malah Dataran Merdeka pun pernah ditutup, tetapi sampai hari ini tiada siapa yang merengkuk dalam penjara kerana perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Razlan turut mengingatkan bahawa pada era BN, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman bagi menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara sah.
“Zaman BN juga menyaksikan ISA dihapuskan dan Akta Perhimpunan Aman diwujudkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada bekas timbalan menteri undang-undang, Hanipa Maidin, yang mengaitkan era pentadbiran BN dengan penahanan peserta perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah).
Tegas Mohd Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh, cubaan membangkitkan isu tersebut sebagai usaha meraih perhatian politik.
“Dalam Amanah sendiri kamu pernah ditolak kerana kelemahan ketika menjadi Menteri. Jadi tak perlulah cuba jadi batu api,” katanya lagi.
Sebelum itu penyelaras Garah, Zamri Vinoth dan penganjur bersama perhimpunan itu, Tamim Dahri Abdul Razak ditahan bersama 17 individu lain sebelum perhimpunan itu berlangsung, ekoran dikhuatiri mengganggu gugat keselamatan, ketika negara dihadiri Perdana Menteri India, Narendra Modi. – UMNO Online
