R&D Bioteknologi Perkukuh Rantaian Nilai Industri Koko Negara

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengadakan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko (PPBK), Lembaga Koko Malaysia (LKM) di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sabah.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, ia bagi meninjau pelaksanaan inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) bioteknologi koko yang sedang dilaksanakan.

Menurut beliau lawatan tersebut juga bertujuan melihat secara dekat keupayaan PPBK dalam memperkukuh rantaian nilai industri koko tempatan melalui pendekatan inovasi dan penggunaan teknologi moden.

“Saya mengadakan lawatan kerja ke PPBK, LKM di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu, Sabah bagi meninjau pelaksanaan inisiatif R&D bioteknologi koko yang sedang dilaksanakan.

“Sepanjang lawatan, saya berkesempatan melawat fasiliti utama PPBK termasuk pameran penyelidikan, kilang pembuatan coklat, kiosk promosi produk serta nurseri anak benih koko.

“Usaha PPBK menghasilkan coklat jenama Marvelles dan membekalkan blok coklat kepada usahawan coklat buatan tangan di Sabah mencerminkan potensi industri koko tempatan yang digerakkan melalui inovasi dan teknologi moden,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan nilai tambah produk koko negara, malah membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan khususnya di Sabah.

Turut serta dalam lawatan kerja berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Razali Mohammad serta Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada KPK, Cheah Chee Fong. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO