PPR Iskandar Terima RM6.81 Juta, Kerajaan Johor Komited Tingkat Kualiti Hidup Rakyat
JOHOR BAHRU, 6 Feb – Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor turun padang meninjau kerja-kerja naik taraf di PPR Sri Iskandar, sekali gus menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan serta kualiti hidup penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) sentiasa diberi perhatian.
Menurut beliau, perumahan rakyat bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, sebaliknya membina persekitaran hidup yang selamat, selesa dan bermaruah.

“Kerajaan Negeri Johor percaya perumahan rakyat perlu diurus secara menyeluruh. Sebab itu aspek penyelenggaraan, keselamatan dan naik taraf PPR serta Rumah Sewa Kerajaan terus menjadi keutamaan di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor,” katanya.
Jelas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, bagi tempoh 2022 hingga 2026, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor menyalurkan peruntukan besar bagi penyelenggaraan 22 skim PPR dan RSK di seluruh negeri, dengan peningkatan konsisten setiap tahun.
“Jumlah peruntukan melonjak daripada RM3.67 juta pada 2022 kepada RM65.41 juta pada 2024, sebelum diteruskan RM47.94 juta (2025) dan RM28.4 juta bagi 2026.
“Khusus untuk PPR Iskandar, sebanyak RM5.61 juta diperuntukkan bagi 2024 dan 2025 melibatkan turapan jalan, baik pulih dewan, pengecatan blok, penggantian penghadang tangga serta naik taraf kabel elektrik. Tambahan RM1.2 juta diluluskan bagi 2026 untuk kesinambungan kerja naik taraf infrastruktur asas.”
Dalam masa sama, katanya, inisiatif SMART PPR turut dilaksanakan dengan pemasangan pagar automatik, pondok pengawal dan CCTV bernilai RM182,591, yang dijangka siap sepenuhnya pada April 2026.

Mohd Jafni berkata pendekatan PPR berpagar itu menunjukkan hasil positif apabila kutipan sewa meningkat drastik daripada RM2.29 juta pada 2021 kepada lebih RM28.4 juta pada 2025.
“Ini membuktikan persekitaran yang lebih selamat dan terurus berjaya memupuk rasa tanggungjawab penghuni terhadap kediaman mereka. Setiap sen peruntukan ini adalah untuk memulihkan maruah hidup rakyat dan memperkukuh keharmonian komuniti,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan terus memantau pelaksanaan projek bagi memastikan manfaatnya benar-benar dirasai rakyat, demi kesejahteraan Bangsa Johor yang lebih adil dan inklusif. – UMNO Online
