Pembangunan Luar Bandar Terus Diberi Keutamaan – Mohd Asna
KUALA LUMPUR, 6 Feb – Timbalan Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin menegaskan komitmennya untuk terus memperkasa pembangunan desa dan meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi perancangan yang tersusun serta berfokus.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi Negeri Sembilan Bil. 1/2026 yang merupakan mesyuarat pertama bagi tahun ini.
Jelasnya, mesyuarat ini penting sebagai platform perbincangan bagi memastikan perancangan pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan secara tersusun, menyeluruh dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat.
“Perkara utama pembentangan hala tuju strategik ekonomi desa dan komoditi negeri oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), selain kelulusan peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi pelaksanaan projek prasarana rakyat.
“Memperincikan status pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di bawah KKDW dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi memastikan bantuan perumahan sampai kepada golongan sasar, khususnya masyarakat Orang Asli.
“Selain itu, penyelarasan garis panduan pengurusan balairaya di bawah UPPIAU turut dibincangkan bagi memastikan kemudahan komuniti dapat dimanfaatkan secara lebih teratur, berkesan dan inklusif,” katanya.
Mengulas lanjut, Asna juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban berharap segala perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan dengan sebaiknya demi memastikan masyarakat desa di Negeri Sembilan terus diperkasa serta tidak tercicir daripada arus pembangunan.
“Insya-Allah, usaha berterusan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita untuk membela kebajikan rakyat dan memacu kemajuan desa secara mampan,” katanya. – UMNO Online
