Naik Taraf Jalan Kampung Tanjung Aru Nelayan, Mohd Rafi Utama Keselesaan Rakyat
LABUAN, 6 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan tampil membantu penduduk Kampung Tanjung Aru Nelayan bagi membaik pulih jalan rosak serta berlubang, sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk yang sekian lama menantikan keselesaan laluan masuk ke kampung mereka.
Menerusi inisiatif tersebut, beliau menghulurkan sumbangan dua lori simen bagi kerja-kerja penampalan lubang dan pelebaran laluan yang berjaya dilaksanakan demi meningkatkan aspek keselamatan serta kesejahteraan komuniti setempat.

Menurut Mohd Rafi, usaha itu adalah manifestasi keyakinannya bahawa politik perlu hadir sebagai khidmat kepada rakyat, bukan sekadar retorik atau janji.
“Bantuan ini hanyalah langkah sementara. Isu jalan masuk Kampung Tanjung Aru Nelayan adalah keperluan asas rakyat yang wajar diselesaikan secara menyeluruh dan berperingkat oleh pihak berwajib,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada kampung seharusnya terpinggir, apatah lagi apabila melibatkan soal keselamatan, akses ekonomi dan kualiti hidup penduduk.

“Sebagai pemimpin, saya berpendirian tegas bahawa tiada rakyat yang wajar terus menunggu. Kerajaan mesti tampil dengan perancangan jelas serta pelaksanaan berkesan untuk menaik taraf sepenuhnya jalan masuk ke kampung ini,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, inisiatif berkenaan mencerminkan makna sebenar slogan ‘Jadikan Politik Itu Satu Ibadah’, iaitu kuasa digunakan untuk berkhidmat, amanah dipikul dengan penuh tanggungjawab dan kebajikan rakyat dijadikan keutamaan negara. – UMNO Online
