MIHA Sertai UMNO, Terima Kad Keahlian Daripada Presiden Parti

KUALA LUMPUR, 6 Feb — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.58 Lamag, Mohd Ismail Ayob (MIHA), secara rasmi menyertai UMNO selepas menyerahkan borang keahlian dan menerima kad keahlian yang disampaikan sendiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis penyerahan tersebut berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn, semalam.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, MIHA menyifatkan penyertaannya sebagai permulaan kepada satu perjalanan baharu dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara, khususnya bagi pembangunan negeri Sabah serta kebajikan rakyat Lamag.

Beliau turut menyatakan komitmen penuh untuk menyumbang tenaga, idea dan khidmat bakti bagi memperkukuhkan perjuangan UMNO serta mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

“Insya-Allah, saya beriltizam untuk memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan keinsafan,” katanya.

Beliau juga berharap agar setiap langkah perjuangan yang diambil mendapat keberkatan dan kekuatan daripada Allah SWT demi memastikan kesinambungan khidmat kepada masyarakat.

Kemasukan beliau ke dalam UMNO turuit disaksikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

24 Jan lalu, MIHA yang menjadi calon BN berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag selepas memperoleh 5,681 majoriti undi menewaskan pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).– UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO