Ahmad Zahid Zahir Sokongan Terhadap Pembangunan Sukan Permotoran Negara

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan sokongan terhadap pembangunan sukan permotoran negara dengan menghadiri Majlis MAM Awards Night 2025 anjuran Motorsports Association of Malaysia (MAM) yang berlangsung di ibu negara, semalam.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, penganjuran majlis berkenaan merupakan satu platform penting bagi menghargai sumbangan atlet, pasukan serta semua pihak yang terlibat secara langsung dalam memacu kecemerlangan sukan permotoran Malaysia.

“Semalam saya berkesempatan menghadiri Majlis MAM Awards Night 2025 anjuran Motorsports Association of Malaysia di Kuala Lumpur.

“Majlis ini merupakan penghargaan kepada atlet, pasukan dan semua pihak yang telah menyumbang kepada pembangunan serta kecemerlangan dalam sukan permotoran negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan tahniah kepada Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel yang menerima Anugerah Ikon Sukan Permotoran sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam mengangkat martabat sukan berkenaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel atas penganugerahan Anugerah Ikon Sukan Permotoran, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan peranan besar beliau dalam mengangkat sukan permotoran Malaysia,” ujar beliau.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap pengiktirafan tersebut menjadi dorongan untuk terus mencapai kejayaan lebih gemilang pada masa hadapan.

“Ucapan tahniah juga saya ucapkan kepada semua penerima anugerah.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk terus melakar kejayaan yang lebih besar dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO