Zambry Adakan Pertemuan Bersama Naib-naib Canselor IPTA Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berbesar hari mengadakan pertemuan bersama Naib-naib Canselor seluruh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) pada semalam.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata amalan mengadakan pertemuan seumpama itu telah menjadi kesinambungan sejak tiga tahun lalu, sekali gus membolehkan pelbagai isu serta hala tuju pendidikan tinggi dibincangkan secara lebih menyeluruh.

“Bersama Naib-naib Canselor seluruh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dalam sesi libat urus dan sembang santai.

“Ini merupakan satu tradisi yang saya teruskan sejak tiga tahun lalu menyertai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Setiap awal tahun, ruang ini dimanfaatkan untuk berkongsi idea, pandangan serta menilai semula segala perancangan yang telah digariskan, bagi melihat hasil dan impak sebenar di lapangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut beliau menegaskan, tahun 2026 perlu menjadi titik tumpuan kepada fasa pelaksanaan menyeluruh, di mana segala perancangan dan dasar yang telah digariskan mesti diterjemahkan kepada tindakan nyata yang memberi kesan langsung kepada ekosistem pendidikan tinggi negara.

Menurutnya, keutamaan turut diberikan kepada pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Januari lalu, dengan penekanan terhadap peningkatan kadar pelaksanaan kerja agar keseluruhan sistem pendidikan tinggi berada pada tahap paling optimum.

“Tahun 2026 saya tekankan sebagai tahun pelaksanaan. Segala yang telah direncana perlu diterjemahkan kepada tindakan yang jelas dan berimpak, khususnya pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang telah diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri pada Januari lalu. ‘Pace’ kerja kita juga perlu dipertingkatkan agar keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi negara berada pada tahap terbaik.

“Kita mahu semua pemegang taruh seperti mahasiswa, pensyarah, kakitangan bukan akademik, industri, ibu bapa, alumni serta seluruh masyarakat bergerak seiring sebagai satu pasukan dalam memastikan pendidikan tinggi terus relevan, berdaya saing dan memberi manfaat kepada negara.

“Seterusnya kita akan berjumpa dengan rakan-rakan di politeknik dan kolej komuniti serta daripada Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS),” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO