Kerajaan Perkukuh Agenda Pemerkasaan Nelayan dan Industri Perikanan Negara
KUALA LUMPUR, 5 Feb – Kerajaan terus memperkukuh komitmen dalam memastikan kesejahteraan komuniti nelayan serta kelestarian industri perikanan negara melalui pendekatan lebih strategik dan menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dizahirkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan Bil.1/2026 yang dipengerusikannya di Parlimen hari semalam.
Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, jawatankuasa berkenaan kini dijenamakan semula sebagai Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Industri Perikanan (JPT-PPIP), selaras dengan hala tuju baharu kerajaan untuk memperkukuh keseluruhan ekosistem industri perikanan negara secara lebih bersepadu dan mampan.

“Penjenamaan semula ini merangkumi pembangunan perikanan tangkapan, perikanan darat serta sektor akuakultur bagi meningkatkan daya saing industri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau berkata, antara fokus utama mesyuarat ialah pembangunan industri tuna sebagai sektor bernilai tinggi yang berpotensi menjadikan Malaysia hab tuna serantau di samping pembangunan rantaian bekalan tuna yang lebih cekap daripada pendaratan hingga pemprosesan diyakini mampu membuka peluang ekonomi baharu.
Jelasnya, mesyuarat turut meneliti cadangan pembinaan Kompleks Pendaratan Ikan di Hutan Melintang, Perak dan Sandakan, Sabah sebagai langkah strategik memperkukuh infrastruktur industri serta meningkatkan kecekapan operasi dan pemasaran hasil perikanan tempatan.
Dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara selaras aspirasi Kerajaan MADANI, Ahmad Zahid berkata pelbagai inisiatif berimpak tinggi sedang dilaksanakan termasuk pemodenan vesel nelayan menggunakan teknologi automasi dan mesra alam, pemerkasaan kapasiti limbungan bot serta pembangunan fasiliti sokongan industri.
Pada masa sama katanya, kerajaan kekal komited menjaga kebajikan komuniti nelayan menerusi pelbagai bantuan dan insentif seperti Elaun Sara Hidup Nelayan, insentif hasil tangkapan, diesel bersubsidi serta bantuan perumahan khusus untuk nelayan B40.
Beliau yakin kerjasama erat antara kementerian, agensi dan pemain industri mampu memacu pertumbuhan sektor perikanan negara secara lebih progresif dan mampan.
“Agenda memperkasa komuniti nelayan akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta keterjaminan bekalan makanan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
