Kejayaan Program HEBAT Manifestasi Sebenar Melaka Sayang Rakyat – Ab Rauf
MELAKA, 5 Feb — Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bertemu Rakyat (HEBAT) siri pertama tahun 2026 mencatat kehadiran lebih 500 rakyat Melaka sepanjang enam jam pelaksanaannya semalam, dengan 271 aduan berjaya diselesaikan serta-merta.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, selebihnya aduan yang diterima kini berada dalam perhatian kerajaan negeri dan akan terus dipantau sehingga selesai.

“Syukur Alhamdulillah, program HEBAT hari ini menerima sambutan yang amat menggalakkan. Daripada lebih 500 kehadiran, sebanyak 271 aduan berjaya diselesaikan terus, manakala yang lain sedang diambil tindakan,” katanya.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar medan menyampaikan aduan, malah menjadi ruang rakyat berkongsi masalah peribadi, cadangan serta pandangan demi penambahbaikan pentadbiran negeri.
“Setiap pandangan, cadangan dan luahan amat kami hargai kerana ia menjadi nadi kepada usaha memperkukuh tadbir urus Kerajaan Negeri Melaka,” ujarnya.
Ab Rauf turut menegaskan komitmen beliau bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) untuk terus turun padang mendengar denyut nadi rakyat secara langsung.
“Pentadbiran saya bukan sekadar menerima aduan, tetapi berusaha mencari jalan penyelesaian segera, di samping membuka ruang seluas-luasnya kepada cadangan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau mengakui pertemuan bersemuka bersama rakyat benar-benar menyentuh perasaan, apabila pelbagai kisah kehidupan dikongsikan termasuk kebimbangan ibu bapa terhadap masa depan anak, permohonan pembaikan rumah serta keperluan bantuan asas.
“Saya bersemuka dengan lebih 500 rakyat Melaka yang masing-masing membawa harapan dan kisah hidup yang menyentuh hati. Inilah makna sebenar ‘Melaka Sayang Rakyat’, bukan sekadar slogan, tetapi janji untuk mendengar, memahami dan bertindak,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Melaka akan memastikan setiap aduan diberi perhatian sewajarnya demi kesejahteraan rakyat.
“Insya-Allah, setiap isu akan diteliti dan diselesaikan sebaik mungkin. Kami mendengar, bertindak dan menyantuni rakyat. Inilah manifestasi sebenar Melaka Sayang Rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
