Dr Asyraf Tekankan Generasi MARA Seimbang Akademik, TVET Bersulam Nilai Al-Quran
KUALA LUMPUR, 5 Feb – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berbesar hati merasmikan pelancaran Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Penawar sebagai hab pendidikan logistik negara dalam satu majlis yang berlangsung kelmarin.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, pelancaran tersebut sekali gus mengangkat KPM Bandar Penawar sebagai satu-satunya institusi di Malaysia yang berperanan sebagai logistic learning provider, sekali gus menjadi mercu tanda penting kepada pembangunan industri logistik dan pengangkutan negara.
“Secara rasminya kita akan meluncurkan KPM Bandar Penawar sebagai hub logistic learning provider satu-satunya yang ada di negara kita akan menjadi mercu tanda kepada industri logistik dan pengangkutan
“KPM Bandar Penawar adalah satu-satunya institusi yang mendapat taraf lima bintang daripada Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, beliau turut mengambil kesempatan berinteraksi secara langsung dengan para pelajar, termasuk menguji tahap hafazan pelajar program Techno-Huffaz Ulul Albab MARA sebagai sebahagian daripada pendekatan MARA dalam membentuk sahsiah dan jati diri pelajar.
Tambah beliau, KPM Bandar Penawar turut meneruskan tradisi MARA dengan melaksanakan program Tahfiz Ulul Albab, selari dengan usaha melahirkan generasi profesional yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan kemahiran TVET, malah memiliki integriti serta jati diri tinggi berteraskan al-Quran.
“Sudah jadi sebahagian rutin setiap kali bertemu dengan pelajar-pelajar MARA, pasti saya akan ambil kesempatan #tebuk dan uji tahap hafazan mereka supaya mereka tetap istiqomah dalam mengulangkaji ingatan hafazan masing-masing.
“Generasi MARA ini bukan hanya kita latih sebagai seorang profesional dalam apa juga bidang tetapi kita hendak pastikan mereka ini mempunyai intregriti daya jati diri yang tinggi bersulamkan Al-Quran
“Kita percaya kalau setiap daripada kita mempunyai jati diri berteraskan Al-Quran insya-Allah kita akan Berjaya menjadi manusia yang cemerlang, gemilang dan terbilang,” ujar beliau. – UMNO Online
