Norshida Perkukuh Jentera Wanita UMNO Dengan Gerak Kerja Turun Padang
JOHOR BAHRU, 4 Feb – Pendekatan turun padang terus kepada rakyat menjadi keutamaan Wanita UMNO Johor sebagaimana Naib Ketuanya, Datuk Norshida Ibrahim mengadakan lawatan ke Kampung Lentang dan Taman Perumahan Awam Batu Anam baru-baru ini, sebagai sebahagian usaha memperkukuh jentera akar umbi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ujarnya, lawatan tersebut memberi tumpuan kepada pertemuan bersama pengundi PR10 bagi mendengar secara langsung keluhan serta harapan masyarakat setempat, di samping menyusun strategi gerak kerja secara berfasa ke arah kesiapsiagaan menghadapi PRN.

Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat berkata, kekuatan sebenar parti tidak hanya bergantung kepada pentas ceramah atau program besar, sebaliknya lahir daripada kerja-kerja kecil yang dilakukan secara konsisten di peringkat komuniti.
“Perjuangan ini bermula dari lorong kecil dan rumah ke rumah. Di situlah Wanita UMNO memainkan peranan, menyantuni rakyat dan membina keyakinan sedikit demi sedikit,” katanya.
Menurut beliau, Wanita UMNO bergerak atas dasar amanah, bukan untuk meraih pengiktirafan, malah terus bekerja dalam senyap demi memastikan perjuangan parti terus kukuh.
“Kami bekerja bukan kerana mahu dipuji, tetapi kerana rasa tanggungjawab. Bukan sehari dua, tetapi berterusan. Kesetiaan inilah yang menjadi kekuatan sebenar Wanita UMNO,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa perpaduan Wanita UMNO di semua peringkat menjadi faktor utama dalam memperkasakan jentera parti, khususnya di kawasan akar umbi.
“Apabila Wanita bersatu, akar umbi menjadi kuat dan apabila akar umbi kuat, insya-Allah kemenangan PRN dapat direalisasikan melalui usaha yang digerakkan dari sekarang,” katanya lagi.
Tambah beliau, pendekatan mendekati rakyat secara berterusan akan terus diperkasakan bagi memastikan isu tempatan diberi perhatian sewajarnya, sekali gus membina hubungan yang lebih erat antara parti dan masyarakat. – UMNO Online
