KKR Selenggara Lebih 18,700 Kilometer Jalan Persekutuan Seluruh Negara
KUALA LUMPUR, 4 Feb – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan memaklumkan Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, JKR Sabah dan JKR Sarawak bertanggungjawab menyenggara Jalan Persekutuan sepanjang 18,705.930 kilometer di seluruh negara.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, ia meliputi 14,973.930 kilometer di Semenanjung Malaysia, 1,536.949 kilometer di Sabah, 2,055.920 kilometer di Sarawak serta 139.131 kilometer di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kontrak Perjanjian Penswastaan Penyenggaraan Jalan Persekutuan dikategorikan kepada tiga komponen utama penyenggaraan iaitu penyenggaraan rutin berjadual, penyenggaraan secara berkala dan penyenggaraan kerja kecil kecemasan yang mana dilaksanakan oleh syarikat konsesi penyenggaraan Jalan Persekutuan yang dilantik.
“Manakala, kerja-kerja penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat pula dilaksanakan oleh JKR melalui kaedah perolehan,” katanya.
Ahmad berkata demikian ketika menjawab Zahari Kechik (PN-JELI) berkenaan jumlah yang telah diperuntukkan dan telah dilaksanakan bagi penyelenggaraan jalan raya bagisetiap negeri pada tahun 2024 dan jumlah peruntukan penyelenggaraan jalan raya bagi tahun 2025.
Menjawab kepada persoalan tersebut, Ahli Parlimen Pontian itu berkana pada tahun 2024 KKR telah memperuntukkan sebanyak RM2.48 bilion bagi penyenggaraan rutin, penyenggaraan secara berkala pavemen, berkala bukan pavemen, penyenggaraan kecil jambatan.
Katanya ia termasuk penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi melalui Arahan Kerja (AK) dan dilaksanakan oleh JKR melalui kaedah perolehan di peringkat jabatan.
“Pada tahun 2025 Kementerian Kerja Raya telah diperuntukkan sebanyak RM2.96 bilion kenaikan RM490 juta,” ujar beliau. – UMNO Online
