Kerajaan Negeri Pahang Akan Sokong, Perluas Program Seumpama PASFA
KUALA LUMPUR, 4 Feb – Kerajaan Negeri Pahang akan terus menyokong dan memperluaskan program seumpama Pertubuhan Perladangan Negeri Pahang (PASFA) kerana ia mampu memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat dan memperkukuh ekonomi negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menyerah dividen Projek Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong kepada para peserta e-Kasih PASFA pada Selasa.

“Saya berasa amat bersyukur dapat menyerahkan dividen Projek Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Bukit Gayong kepada para peserta e-Kasih PASFA di Kuantan.
“Syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada PASFA atas komitmen serta kejayaan melaksanakan projek ini.
“Usaha ini membuktikan bahawa sektor pertanian dan penternakan mampu menjadi sumber pendapatan yang mampan, khususnya kepada golongan memerlukan peluang untuk bangkit memperbaiki kehidupan,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, seramai 750 orang peserta telah menerima dividen sebanyak RM2,011 setiap seorang, dengan jumlah keseluruhan bayaran mencecah RM1.508 juta.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi hasil titik peluh dan pengurusan yang telus serta berkesan.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus menyokong dan memperluaskan program seperti ini kerana ia memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat, selain memperkukuh ekonomi negeri selari dengan Aspirasi Pahang 1st.
“Mudah-mudahan kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak projek berdaya maju, agar Pahang terus melangkah ke hadapan sebagai negeri yang maju, makmur, aman dan sejahtera,” katanya lagi. – UMNO Online
