GD XCHANGE: Malaysia Perlu Terus Tumpu Kepada Pendigitalan Rentas Sektor
KUALA LUMPUR, 4 Feb – Malaysia perlu terus menumpukan kepada pendigital merentasi sektor dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, pelancaran GD XCHANGE pada Selasa menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan transformasi digital syarikat tempatan.

“Pelancaran ‘GD XCHANGE by GDEX’ Berhad pada Selasa menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan transformasi digital syarikat tempatan yang terus berkembang dan berinovasi.
“Inisiatif ini mencerminkan keupayaan syarikat Malaysia untuk bergerak seiring dengan perubahan teknologi dan keperluan pasaran,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa GD XCHANGE hadir tepat pada masanya untuk membantu perniagaan mempercepat penggunaan teknologi.
“Dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar, Malaysia perlu terus menumpukan kepada pendigitalan merentasi sektor perkhidmatan, logistik dan perdagangan.
“GD XCHANGE hadir tepat pada masanya untuk membantu perniagaan mempercepat penggunaan teknologi, merendahkan halangan pendigitalan dan memperkukuh keupayaan operasi,” katanya lagi.

Untuk rekod, GD XCHANGE ialah anak syarikat teknologi dan platform digital yang dibangunkan oleh GDEX Berhad sebagai bahagian utama transformasi syarikat daripada operasi kurier tradisional kepada pemain logistik berasaskan teknologi serta ekosistem digital.
GD XCHANGE kini berfungsi sebagai segmen teknologi yang menyokong perkhidmatan digital dan penyelesaian pintar untuk perniagaan termasuk syarikat kecil dan sederhana (PKS).
GD XCHANGE direka sebagai platform kolaboratif bagi perniagaan untuk mengalami sendiri teknologi rantaian bekalan (supply chain) dan penyelesaian digital termasuk perkhidmatan awan (cloud), kecerdasan buatan (AI), analitik data, keselamatan siber dan sistem runcit pintar. – UMNO Online
