Celik Madani: Kerajaan Komited Perkasa Generasi Muda Dari Sudut Kewangan

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Program Celik Madani mencerminkan komitmen berterusan kerajaan memperkasa generasi muda dari sudut kewangan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Dr Zambry memaklumkan program tersebut memberi tumpuan untuk mendidik para pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan Kolej Vokasional (KV) agar lebih celik kewangan.

“Saya menerima kunjungan daripada pasukan Program Celik Madani, satu inisiatif strategik literasi kewangan yang digerakkan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dengan sokongan kerajaan bagi tempoh lima tahun bermula 2025 hingga 2030.

“Program ini memberi tumpuan kepada usaha mendidik pelajar IPT dan KV agar lebih celik kewangan serta membina tabiat menabung sejak awal.

“Melalui pemberian RM50 unit amanah percuma ke dalam akaun myASNB (ASB atau ASM), pelajar bukan sahaja diperkenalkan kepada instrumen pelaburan, malah digalakkan untuk berfikir lebih jauh tentang pengurusan kewangan masa hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan program tersebut menyasarkan seramai satu juta orang pelajar di IPT dan KV.

“Mungkin ramai yang masih belum tahu sepenuhnya inisiatif Kerajaan ini. Saya telah berbincang dengan wakil ASNB yang datang untuk kita mempelbagaikan lagi hebahan akan kebaikan program ini demi masa depan anak-anak.

“Dengan sasaran seramai satu juta pelajar, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa generasi muda bukan sekadar dari sudut akademik tetapi juga keupayaan membuat keputusan kewangan yang bijak dan bertanggungjawab,” katanya lagi.

Untuk rekod, Program Celik Madani (Celik Kewangan Belia MADANI) ialah inisiatif literasi kewangan dan tabiat menabung yang dilaksanakan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersama ASNB dan Kerajaan Malaysia.

Tujuan utama program ini adalah untuk memperkasa pelajar institusi pengajian tinggi dengan ilmu kewangan asas, pemahaman pelaburan dan tabiat simpanan sejak usia muda.

Program ini pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) pada 22 Ogos 2024 dan kini sedang dilaksanakan secara berfasa sejak 1 Mac 2025 hingga 28 Februari 2030. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO