Thaipusam: Semoga Perpaduan Kita Terus Dipelihara – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 1 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Thaipusam dan berharap agar perpaduan negara terus dipelihara.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Presiden UMNO berpandangan bahawa kepelbagaian budaya dan agama menjadi asas utama pembentukan jati diri negara.

“Saya mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Thaipusam kepada seluruh penganut agama Hindu di Malaysia yang meraikannya.
“Kepelbagaian budaya dan agama merupakan antara asas utama yang membentuk jati diri negara. Dalam perbezaan, kita belajar untuk saling memahami.
“Dalam kepelbagaian, kita menemukan kekuatan untuk terus hidup sebagai satu masyarakat yang bersatu,” katanya.
Tambahnya, nilai keharmonian yang telah dibina perlu terus dikekalkan supaya keamanan dan kestabilan negara terjamin.

“Saya percaya keharmonian yang kita nikmati hari ini lahir daripada sikap saling menghormati serta kesediaan untuk berkongsi ruang sebagai sebuah negara yang berpaksikan perpaduan.
“Nilai inilah yang mesti terus dipelihara agar keamanan dan kestabilan negara kekal terjamin untuk generasi akan datang.
“Selamat menyambut Thaipusam kepada semua yang meraikannya. Semoga perpaduan kita terus dipelihara dan Malaysia kekal aman, stabil serta sejahtera untuk generasi hari ini dan masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online
