Yayasan Pahang Terima Anugerah Anti-Rasuah, Bukti Berwibawa Angkat Nilai Integriti
KUALA LUMPUR, 31 Jan – Kejayaan Yayasan Pahang menerima Anugerah Anti-Rasuah di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Global Compact) membuktikan pertubuhan tersebut berwibawa dalam mengangkat nilai Integriti.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, kejayaan tersebut menjadi sejarah apabila Pahang adalah negeri pertama yang menerima anugerah tersebut.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Yayasan Pahang atas kejayaan yang amat membanggakan apabila telah mencipta sejarah sebagai yayasan milik Kerajaan Negeri pertama di Malaysia yang menerima Anugerah Anti-Rasuah di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Global Compact) melalui Forward Faster Sustainability Awards 2026, baru-baru ini.
“Saya percaya pengiktirafan ini adalah hasil daripada kerja keras, kesepaduan, iltizam dan usaha Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang bersama seluruh warga Yayasan Pahang,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berharap agar kejayaan tersebut akan terus menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan dan mengharumkan nama Negeri Pahang.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa Yayasan Pahang bukan sahaja unggul dalam memperjuangkan agenda pendidikan dan kebajikan rakyat, malah berwibawa dalam mengangkat nilai integriti, ketelusan dan tadbir urus bertaraf antarabangsa, selaras dengan pelaksanaan ISO 37001 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan dan mengharumkan nama Negeri Pahang di persada dunia,” katanya. – UMNO Online
