Malaysia Perkukuh Komitmen ASEAN Dalam AMM Retreat Di Cebu

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa tugasan rasmi beliau di Cebu, Filipina berakhir dengan penyertaan dalam sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (ASEAN Foreign Ministers’ Retreat – AMM Retreat).

Sesi tersebut telah dipengerusikan oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri Republik Filipina, PYT Ma. Theresa P. Lazaro, dan menjadi platform penting bagi negara-negara anggota ASEAN untuk bertukar pandangan secara terbuka mengenai cabaran serantau dan global.

Menurut beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, sesi pemukiman itu memberi ruang strategik kepada Malaysia dan negara anggota ASEAN lain untuk memperkukuh kerjasama ke arah pembinaan Komuniti ASEAN yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan.

“Sesi Pemukiman AMM ini membuka ruang perbincangan yang konstruktif dalam memperkukuh usaha bersama ASEAN, khususnya dalam mendepani perubahan serta ketidaktentuan landskap geopolitik dan geoekonomi semasa,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh perpaduan dan kesepaduan ASEAN, selaras dengan aspirasi rantau ini untuk kekal relevan, stabil dan berdaya saing di peringkat global.

Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke Permukiman AMM, mesyuarat rasmi pertama ASEAN tahun ini di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Filipina yang bertemakan “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama”. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO