UMNO Negeri Sembilan Sokong Model Baharu BN – Jalaluddin

SEREMBAN, 29 Jan – UMNO Negeri Sembilan menyatakan sokongan penuh terhadap pandangan dan penegasan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung keperluan memperkenalkan Model Baharu Barisan Nasional yang selari dengan realiti politik semasa negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN, parti itu telah melalui satu proses “reset” yang berani dan strategik.

Menurut beliau, keputusan UMNO dan BN untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan bagi membentuk Kerajaan Perpaduan merupakan satu langkah besar yang mencerminkan kebijaksanaan kepimpinan, meskipun melibatkan kerjasama dengan musuh politik tradisi.

“Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia membuktikan kematangan politik dan kesediaan kepimpinan BN untuk mengadaptasi amalan politik baharu demi menjamin kestabilan politik dan memenuhi harapan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa langkah tersebut bukan pengorbanan prinsip, sebaliknya merupakan tindakan berisiko paling rendah demi mengelakkan ketidaktentuan politik berpanjangan serta memastikan kelangsungan pentadbiran negara.

Bagaimanapun, Jalaluddin mengingatkan bahawa UMNO dan BN tidak boleh berada dalam zon selesa. Menurutnya, parti dan akar umbi perlu sentiasa tampil segar, relevan dan terbuka terhadap pendekatan politik baharu, khususnya dalam mendekati pengundi muda dan pengundi atas pagar.

“Perubahan demografi menuntut pendekatan yang lebih dinamik dan berkesan. Naratif parti juga perlu diangkat secara konsisten berpandukan hala tuju yang digariskan oleh Presiden UMNO,” ujarnya.

Tambah beliau, landskap politik hari ini memerlukan kebijaksanaan, keberanian untuk menyesuaikan diri serta kesediaan berubah demi masa depan parti, negara dan rakyat.

“Kita perlu bergerak bersama dalam menjayakan agenda pembaharuan ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO