UMNO Johor Tegaskan Pendidikan Alat Penyatuan, Bukan Alat Politik
JOHOR BAHRU, 29 Jan – UMNO Johor menegaskan komitmennya untuk mempertahankan pendidikan sebagai alat penyatuan nasional, bukannya dijadikan alat politik untuk meraih sokongan pengundi.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah, berkata kenyataan sesetengah pihak yang menekankan isu pendidikan tertentu sebagai modal politik jelas menunjukkan kelemahan pelaksanaan dasar serta tumpuan kepada kepentingan peribadi atau parti, bukan kepentingan sebenar negara.
“Isu pendidikan tidak seharusnya dijadikan modal emosi atau perkauman. Malaysia memerlukan pemimpin yang berani bertindak ketika diberi amanah, bukan sekadar pandai menyesal atau memberi retorik politik,” katanya.

Md Israk menekankan bahawa UMNO Johor akan terus memperjuangkan dasar pendidikan yang menyeluruh, menjaga kepentingan nasional, memperkukuh bahasa kebangsaan, memupuk perpaduan, dan memastikan akses pendidikan yang adil untuk rakyat.
Beliau menegaskan bahawa fokus sebenar harus diberikan kepada pembangunan pendidikan di peringkat kawasan dan masyarakat. Contohnya, di beberapa kawasan seperti Parlimen Kulai, masih terdapat kekurangan institusi pendidikan:
• Tiada universiti awam (IPTA)
• Tiada kolej komuniti
• Tiada sekolah berasrama penuh
• Tiada sekolah teknik atau vokasional khas
“Apakah lebih penting berpolitik soal isu tertentu, atau membina peluang pendidikan sebenar untuk anak-anak tempatan? UMNO Johor percaya pendidikan adalah asas kepada perpaduan dan pembangunan negara. Semua rakyat mesti mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang,” tegasnya.
Menurut Md Israk, politik persepsi dan retorik tidak seharusnya menenggelamkan kepentingan pendidikan sebenar. UMNO Johor menegaskan pendekatan menyeluruh dan berani bertindak adalah kunci untuk memastikan dasar pendidikan berkesan dan membawa manfaat kepada rakyat.
“Pendidikan bukan alat politik. Ia adalah alat penyatuan. UMNO Johor akan terus mempertahankan prinsip ini demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya. – UMNO Online
