Lima Inisiatif Strategik Perkasa Industri Halal, Sasar Malaysia Hab Halal Global – Ahmad Zahid
PUTRAJAYA, 29 Jan — Kerajaan menyasarkan Malaysia sebagai Hab Halal Global menerusi pelaksanaan lima inisiatif strategik berimpak tinggi bagi memperkukuh ekosistem industri halal negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara inisiatif utama ialah pembangunan Pelabuhan Mesra Halal pertama negara di Pelabuhan Kuantan yang dijangka menjana nilai ekonomi RM15 bilion serta mewujudkan lebih 13,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun.

“Pelaksanaan lima inisiatif strategik ini akan memperkukuh keseluruhan ekosistem industri halal negara, merangkumi aspek logistik, pembiayaan, pelancongan Islam, pembangunan negeri dan tadbir urus taman industri halal, seterusnya meletakkan Malaysia sebagai Hab Halal Global,” katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) Bil. 2/2025 di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, pembangunan Pelabuhan Mesra Halal di Pelabuhan Kuantan akan meletakkan pelabuhan itu sebagai Hab Halal Pantai Timur yang bersepadu, sekali gus meningkatkan kecekapan rantaian logistik halal dan kebolehkesanan produk.
“Inisiatif ini bukan sahaja dijangka menjana nilai ekonomi RM15 bilion, malah membuka lebih 13,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada ekonomi tempatan dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan tahap penyaluran pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) halal masih rendah walaupun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan Kerajaan.
“Kekangan utama yang dikenal pasti ialah isu cagaran fizikal, justeru saya menggesa pengukuhan koordinasi antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan institusi kewangan serta penambahbaikan proses dokumentasi bagi memastikan akses pembiayaan yang lebih inklusif dan berkesan,” katanya.
Mengulas sektor pelancongan Islam, Ahmad Zahid berkata prestasi pelancongan Muslim Malaysia terus menunjukkan momentum positif apabila merekodkan 5.4 juta ketibaan pelancong Muslim dengan perbelanjaan RM19.54 bilion pada 2024.

“Penyelarasan Program Muslim-Friendly Assurance Recognition (MFAR) dengan garis panduan pensijilan halal sektor perhotelan amat penting bagi memastikan keseragaman standard dan meningkatkan keyakinan pelancong Muslim terhadap perkhidmatan di Malaysia,” katanya.
Beliau turut menggalakkan negeri-negeri lain mencontohi pendekatan proaktif Johor menerusi Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030.
“Pendekatan tersusun yang dilaksanakan Johor wajar dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain bagi memastikan pembangunan industri halal yang seimbang dan selari dengan matlamat nasional.”
Ahmad Zahid berkata Kerajaan MADANI yakin industri halal Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dengan syarat semua pihak berganding bahu menjayakannya.
“Komitmen bersepadu semua pihak amat penting bagi memastikan Malaysia terus unggul dalam pengeluaran serta pensijilan produk dan perkhidmatan halal di peringkat antarabangsa,” katanya lagi. – UMNO Online
