Dari Parlimen: Simpang Renggam Persoal Langkah KLN Atasi Isu Sempadan Maritim

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad mempersoalkan langkah Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam mengatasi isu persempadanan maritim yang masih berbangkit.

Menjadikan isu Pulau Batu Puteh sebagai iktibar, beliau turut mempersoalkan tindakan KLN untuk memastikan perkara tersebut tidak berulang lagi pada masa hadapan.

“Katakanlah keputusan yang tidak memihak kepada kita berkaitan Pulau Batu Puteh … tetapi, isu persempadanan masih lagi bangkit antara Malaysia-Singapura dan Malaysia-Indonesia khususnya berkaitan soal tiga batu nautika dari sempadan negeri.

“Jadi, bagaimana kita melihat usul-usul KLN apabila membicarakan tentang soal sempadan maritim yang menyentuh lagi isu selanjutnya supaya perkara Pulau Batu Puteh tidak berulang?

“Jadi, isu persempadanan maritim yang masih berbangkit ini, apakah peringkat tindakan ataupun usaha di pihak kementerian?” soalnya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Lukanisman Awang Sauni memaklumkan bahawa pemimpin kedua-dua negara telah bersetuju untuk mengambil pendekatan harmoni dan konstruktif bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Ini merupakan isu dua hala yang masih tertunggak. Berkaitan isu Malaysia-Singapura, kedua-dua pemimpin telah bersetuju untuk mengambil pendekatan harmoni dan konstruktif dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan juga memberikan manfaat bersama.

“Sememangnya kita tidak ingin mengulangi kesilapan-kesilapan terdahulu dan kita juga sentiasa memastikan pegawai-pegawai tertinggi yang mewakili kerajaan untuk duduk berbincang secara lebih kerap. Itu adalah keputusan kedua-dua buah negara.

“Berkenaan persempadanan maritim, kerajaan juga bersetuju menggunakan instrumen rundingan melalui Jawatankuasa Teknikal Bersama untuk merapatkan jurang pendirian di segmen barat dan timur bagi sempadan maritim Malaysia-Singapura.

“Begitu juga dengan negara-negara jiran kita seperti Indonesia, Brunei dan rantau asia ini. Isu ini sensitif, kita perlu lihat dalam konteks yang lebih kompleks dan juga kebijaksanaan pemimpin-pemimpin kita sama ada kini atau sebelum ini mengambil pendekatan saling hormat-menghormati … dalam masa sama menjaga kedaulatan negara,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO