Tiada Isu Bottleneck Projek Pembetungan Kukup Laut, Ayer Masin – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata tiada isu bottleneck berhubung projek sistem pembetungan dan sanitari bagi Perkampungan Atas Air Kukup Laut dan Kampung Ayer Masin memandangkan ia hanya boleh dilaksanakan setelah hasil kajian teknikal terperinci selesai dijalankan.
Menurut beliau, pada masa ini Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) telah melantik syarikat perunding kejuruteraan untuk melaksana kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan loji rawatan kumbahan dan rangkaian paip pembetungan di Perkampungan Kukup Laut dan Ayer Masin, Tanjung Piai, Pontian, Johor Darul Takzim.
“Kajian tersebut telah bermula pada Disember 2025 dengan tempoh pelaksanaan satu (1) tahun dan dijangka selesai pada Disember 2026. Kajian kebolehlaksanaan ini mengambil kira keseluruhan kawasan pembangunan atas air di Perkampungan Nelayan Ayer Masin, Perkampungan Nelayan Kukup Laut dan sekitarnya.
“Antara objektif kajian ini adalah untuk menyediakan perancangan pembetungan secara terperinci, mengenal pasti skop kerja pembetungan yang perlu dilaksanakan, serta mencadangkan sistem pembetungan yang ideal, bersesuaian dan menyeluruh bagi kawasan kajian,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Parlimen, di sini, hari ini
Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng meminta Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air menyatakan sebab sebenar projek
sistem pembetungan dan sanitari bagi Perkampungan Atas Air Kukup Laut dan Kampung Ayer Masin masih tergendala dan siapa pihak yang kini menjadi bottleneck utama serta bila tarikh komitmen diberikan kepada Parlimen untuk memulakan pelaksanaan fizikal projek ini.
Abdul Rahman seterusnya menambah hasil kajian ini akan digunakan oleh pihak Kerajaan untuk membuat keputusan berkaitan pelaksanaan projek di Perkampungan Kukup Laut dan Ayer Masin, Tanjung Piai, Pontian, Johor Darul Takzim yang dijangkakan pada penghujung tahun 2026. – UMNO Online
