Status Projek LCS: LCS 1 Mulakan Sea Trial, Tauliah Disember 2026 – Menteri Pertahanan
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Kementerian Pertahanan mengambil maklum sepenuhnya keprihatinan semua pihak berhubung status Projek Pembinaan Kapal Tempur Pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sehingga 25 Disember 2025, Kementerian dimaklumkan oleh LUNAS bahawa kemajuan keseluruhan Projek LCS telah mencapai 75.75 peratus sebenar berbanding 81.57 peratus perancangan.
Menurut beliau khusus bagi Kapal LCS 1, kemajuan semasa adalah 82.90 peratus sebenar berbanding 96.52 peratus dirancang dan kemajuan projek ini meliputi pembinaan struktur kapal, pemasangan peralatan utama dan integrasi sistem-sistem kapal.
“Walaupun terdapat kelewatan berbanding jadual asal, Kementerian dimaklumkan oleh pihak LUNAS bahawa Kapal LCS 1 telah berjaya diluncurkan ke air dan kini berada dalam fasa pemasangan serta integrasi sistem utama kapal.
“Fasa ujian laut bagi Kapal LCS 1 di peringkat limbungan telah bermula sejak 20 Januari 2026. Dan seterusnya memulakan first sea going pada 28 Januari 2026 bagi tujuan yang meliputi pengujian sistem jentera, janakuasa, sistem penghawa dingin dan propulsion system. Ini adalah proses permulaan bagi memastikan Kapal LCS 1 berkeupayaan untuk berlayar di lautan. Manakala persediaan platform dan peralatan sedang giat dilaksanakan untuk membolehkan sea trial penuh dimulakan pada awal April 2026,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Parlimen hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz meminta Menteri Pertahanan menyatakan status prestasi sea trial Kapal Littoral Combatant Ship 1 (LCS 1) KD Maharajalela dan apakah kapal ini akan dapat ditauliahkan mengikut jadual seawal bulan Ogos 2026.
Khaled seterusnya menambah berdasarkan maklum balas oleh LUNAS yang dikemukakan kepada Pasukan Projek, jadual pentauliahan Kapal LCS 1 dipinda ke Disember 2026, manakala bagi Kapal LCS 2 pula dipinda ke Ogos 2027. Bagi kapal-kapal berikutnya pula, pentauliahan LCS 3 kekal pada Disember 2027, LCS 4 pada Ogos 2028 dan LCS 5 pada April 2029.
Dari segi kos tambahnya lagi, nilai keseluruhan kontrak Projek LCS adalah sebanyak RM11.2 bilion untuk kelima-lima buah kapal, dengan perbelanjaan semasa berjumlah RM8.3 bilion, atau lebih kurang 74 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Dalam memastikan ketelusan dan kawal selia yang berterusan, Kementerian Pertahanan telah mewujudkan pelbagai platform pemantauan seperti Project Management Review (PMR), Project Monitoring Committee (PMC) serta Jawatankuasa Teknikal yang bersidang secara berkala, dengan penglibatan menyeluruh TLDM sebagai end-user dan pihak LUNAS,” ujarnya. – UMNO Online
