Perspektif Empirikal Penting Nilai Kekuatan Sebenar Parti – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kepentingan kepimpinan dan parti untuk tidak hanya terperangkap dalam perbincangan dalaman semata-mata, sebaliknya perlu membuka ruang kepada perspektif luaran yang lebih telus dan berasaskan dapatan empirikal.

Beliau berkata, pandangan daripada pihak luar yang berteraskan kajian dan analisis objektif mampu memberi gambaran sebenar terhadap kedudukan serta hala tuju parti, khususnya dalam mendepani cabaran politik semasa.

“Kita sering terjebak dengan perbincangan dalaman yang menghasilkan natijah mengikut perspektif dalaman. Kita mahu mendengar perspektif luaran yang lebih telus dan lazimnya mereka akan bercerita dan mengupas sesuatu itu berdasarkan pandangan empirikal daripada kajian-kajian yang mereka lakukan.

“Kita mesti mengakui bahawa kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO sendiri masih berlandaskan kepada keindukan kaum masing-masing iaitu UMNO, Melayu; MCA; MIC serta rakan-rakan Friends of BN yang lain yang mewakili kelompok-kelompok yang bukan berbentuk multi-racial.

“Gabungan dalam BN dibuat untuk pembentukan ‘multi-racialism’. Kepelbagaian kaum ini adalah asas bukan sahaja kepada kestabilan politik, malah akan menentukan arah bagaimana ekonomi dapat dibangunkan secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Better Nation (BN) Forum ke-9 – Model Baharu Barisan Nasional: Antara Tradisi Politik dan Tuntutan Perubahan, di Menara Dato’ Onn, malam tadi.

Tambah Pengerusi BN itu, kestabilan politik dan kesepaduan rakyat turut menjadi faktor utama penilaian pelabur antarabangsa dalam membuat keputusan pelaburan.

“Atas asas itulah, pelaburan langsung asing atau Foreign Direct Investment (FDI) akan masuk atau tidak bergantung kepada kestabilan politik serta bagaimana kesepaduan dalam kalangan rakyat ini dinilai secara objektif oleh para penganalisis ekonomi dan korporat,” jelas.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, usaha untuk mempertahankan tradisi politik negara perlu berasaskan kepelbagaian kaum yang menjadi terus kekuatan Malaysia sejaka sekian lama.

“Apabila mengekalkan tradisi ini dengan kepelbagaian berasaskan teras kaum, maka mahu mempertahankan tradisi itu. Dan jika perubahan mahu dilakukan, maka harus melihat suatu hakikat bahawa tidak ada sebuah parti pun yang dominan yang boleh membentuk kerajaan secara sendirian.

“Begitu juga, tidak ada sebuah parti gabungan pun yang boleh membentuk kerajaan secara bersendirian… itu adalah hakikat. Tetapi tempoh 22 bulan ini harus dilihat dengan suatu perspektif yang berbeza kerana hakikatnya demografi politik masih berasaskan kepada kependudukan.

“Kita lihat negeri-negeri SG4 ialah negeri-negeri ‘The Malay Belt’ yang berada di situ. Dan The Malay Belt ini dominasinya ialah parti yang berasaskan kepada Melayu dan Islam, ertinya Perikatan Nasional. Dan di dalam Pakatan Harapan (PH), demografinya ialah kawasan bandar dan luar bandar,” katanya lagi.

Seterusnya kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, apabila terpukul dengan hanya 30 kerusi yang dimenangi di peringkat Parlimen, BN harus menganalisis soal demografi ini.

“Adakah ia benar-benar terkait dengan BN? Atau adakah masalah dalaman ketika itu mendominasi permasalahan hingga kekurangan kerusi, atau ada faktor-faktor lain yang menyebabkan situasi itu berlaku.

“Biarpun BN hanya mempunyai sumbangan sebanyak 30 kerusi, tetapi dengan 30 kerusi yang sedikit itulah yang mencukupkan ‘simple majority’ hingga kerajaan terbentuk,” jelas beliau.

Tambah Ahmad Zahid lagi, situasi ini turut diikuti semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini dan tidak ada satu parti yang dominan.

“Apabila BN membuat keputusan yang hanya mempunyai enam kerusi di Sabah, maka jumlah itu tidak mencukupkan 37 kerusi yang diperlukan. Maka permulaan kombinasi antara GRS dengan BN itu telah membuka ruang membantu pembentukan kerajaan di Sabah.

“Jumlah itu bukan sahaja memberi kecukupan ‘simple majority’ di Sabah, tetapi telah mengundang beberapa parti lain untuk memberikan dukungan dalam pengwujudan kerajaan negeri yang ada di Sabah,” ujarnya.

Ujarnya lagi, dua pengalaman ini di Putrajaya dan juga di Kota Kinabalu memperlihatkan bahawa biarpun sedikit mendapat kerusi, tetapi BN telah melakukan strategi politik yang benar. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO