Johor Perkukuh Infrastruktur Tebatan Banjir, Selari Aspirasi Maju Johor – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 28 Jan – Kerajaan Negeri Johor terus memberi perhatian serius terhadap isu banjir bandar dengan memperkukuh pelaksanaan projek infrastruktur asas, khususnya di kawasan ‘hotspot’ banjir di bawah seliaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, isu banjir bukan sekadar cabaran teknikal, sebaliknya melibatkan keselamatan, harta benda serta kualiti hidup rakyat, justeru memerlukan pendekatan berterusan dan berkesan di peringkat pelaksanaan.

“Kerajaan negeri memandang serius isu banjir kerana ia memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat. Sebab itu pemantauan di lapangan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan setiap projek tebatan banjir benar-benar menepati perancangan dan memberi impak sebenar kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak bersama Datuk Bandar MBIP, Hasrin Kamal; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim dan ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, bagi meninjau pelaksanaan projek tebatan banjir di sekitar Skudai.

Lawatan tersebut melibatkan dua lokasi utama iaitu projek menaik taraf sistem perparitan di Jalan Zapin, Jalan Ronggeng, Jalan Inang dan Jalan Baung, serta projek pembinaan kolam takungan On-Site Detention (OSD) di Jalan Hang Tuah, Taman Skudai Baru.

Menurut Mohd Jafni, pembinaan kolam takungan OSD bernilai RM3 juta itu bertujuan menambah kapasiti takungan air hujan dan mengawal aliran limpahan sebelum dilepaskan secara terkawal ke sistem perparitan sedia ada.

“Pendekatan ini dapat mengurangkan risiko banjir kilat serta tekanan terhadap sistem saliran, khususnya ketika hujan lebat,” jelasnya.

Sementara itu katanya, projek menaik taraf sistem perparitan di Jalan Zapin dan kawasan sekitarnya yang melibatkan kos RM5 juta telah bermula sejak Ogos 2025 dan kini mencatat kemajuan fizikal sekitar 78 peratus, sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk yang sebelum ini sering berdepan kejadian banjir berulang.

“Menariknya, konsep kolam takungan OSD ini dibangunkan secara multifungsi, di mana struktur takungan air dibina di bahagian bawah tanah, manakala ruang di bahagian atas dimanfaatkan sebagai kemudahan awam seperti taman permainan, kawasan riadah dan infrastruktur komuniti.

“Pendekatan inovatif ini mencontohi amalan terbaik negara maju seperti Jepun dan merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan di Negeri Johor. Ia mencerminkan komitmen kerajaan negeri dan MBIP dalam mencari penyelesaian lestari bagi pengurusan banjir bandar,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Johor bersama MBIP telah melaksanakan enam projek mitigasi banjir di empat hotspot melibatkan DUN Kota Iskandar dan DUN Skudai dengan jumlah kos keseluruhan RM16.66 juta, yang kini telah berjaya disiapkan sepenuhnya.

Mohd Jafni menegaskan bahawa usaha memperkukuh infrastruktur asas seperti tebatan banjir akan terus diperkasakan selaras dengan aspirasi MAJU JOHOR yang digariskan oleh YAB Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Pembangunan negeri mesti seiring dengan keperluan rakyat. Projek infrastruktur asas seperti ini akan terus diperkukuh supaya kemajuan Johor tidak meninggalkan sesiapa di belakang,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Johor melalui kerjasama erat MBIP, wakil rakyat dan agensi teknikal akan terus menilai serta menambah baik perancangan tebatan banjir dari semasa ke semasa.

“Keutamaan kami jelas iaitu setiap sen peruntukan mesti memberi impak sebenar kepada rakyat dan kesejahteraan komuniti kekal menjadi asas utama pembangunan negeri,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO