Isu Pendidikan Digital Perlu Diselesai, Keadilan Bukan Kemewahan – Manndzri

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Kerajaan digesa menyelesaikan segera masalah asas pendidikan digital bagi memastikan tiada sekolah tercicir, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, menjelang tahun 2026.

Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, negara tidak seharusnya terus berdepan isu berulang seperti ketiadaan capaian internet yang stabil, kekurangan peranti atau alat bantuan pembelajaran serta ketiadaan guru yang mahir dalam pedagogi digital.

“Tahun 2026 kita tidak boleh lagi dengar atau lihat sekolah yang masih tiada internet stabil, tiada peranti pembelajaran dan tiada guru yang mahir mengendalikan pedagogi digital,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut beliau, transformasi pendidikan digital bukan isu kemewahan, sebaliknya merupakan soal keadilan sosial kerana masih banyak sekolah di luar bandar dan pedalaman berdepan masalah asas.

“Kelemahan ini jika dibiarkan akan mewariskan kemiskinan digital kepada generasi akan datang,” tegasnya.

Manndzri turut membangkitkan tahap kesiapsiagaan guru yang masih rendah dalam menghadapi perubahan teknologi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bilik darjah.

Beliau berkata, menurut pandangan kesatuan guru, masih belum wujud garis panduan yang jelas, latihan teratur atau program berstruktur bagi mempersiapkan pendidik menghadapi bilik darjah berasaskan AI, walaupun teknologi itu dijangka digunakan secara meluas menjelang tahun 2030.

“Berdasarkan kajian sebelum ini, kurang daripada tiga peratus guru berada pada tahap literasi digital lanjutan, manakala dua pertiga guru hanya mempunyai pengetahuan asas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan menetapkan pelan tindakan serta garis masa yang jelas bagi memastikan latihan guru, infrastruktur digital dan keperluan asas sekolah dapat dipenuhi secara menyeluruh dan berkesan.

Dalam masa yang sama, Manndzri turut menegaskan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dijamin di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan semakin terpinggir dalam amalan sebenar.

Beliau berkata, walaupun kedudukan Bahasa Melayu dilindungi Perlembagaan, realitinya bahasa kebangsaan itu kini seolah-olah menjadi bahasa kedua, termasuk dalam urusan rasmi kerajaan.

“Masih berlaku ketidakpatuhan penggunaan Bahasa Melayu dalam dokumen rasmi, papan tanda dan urusan pentadbiran, tidak terkecuali di peringkat kementerian dan agensi Persekutuan sehingga mendapat teguran daripada Dewan Bahasa dan Pustaka,” katanya.

Manndzri turut membandingkan sikap negara lain yang berbangga mengangkat bahasa ibunda masing-masing, berbanding situasi di Malaysia.

“Jepun bangga dengan bahasa Jepunnya, Korea dengan bahasanya, Perancis dengan bahasanya. Tetapi kita masih ada yang segan silu menggunakan bahasa sendiri, seolah-olah bahasa asing itu lebih tinggi nilainya,” ujarnya.

Beliau berkata keadaan itu menjadi lebih membimbangkan apabila Bahasa Melayu terus terpinggir dalam sektor ekonomi digital dan teknologi tinggi.

“Lebih 80 peratus dokumentasi profesional dan kandungan teknologi di Malaysia menggunakan bahasa asing. Bahasa Melayu semakin terpinggir sedangkan negara seperti Jepun dan Korea mampu membangunkan teknologi canggih menggunakan bahasa ibunda mereka,” katanya.

Menurut Manndzri, isu Bahasa Melayu bukan bertujuan untuk dipolitikkan, sebaliknya melibatkan soal kedaulatan negara.

“Selagi Bahasa Melayu gagal dimartabatkan dalam pentadbiran, pendidikan tinggi dan ekonomi digital, selagi itulah kita gagal membina sebuah negara yang berdaulat sepenuhnya,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO