Setiausaha Agung BN Ucap Tahniah, Mohd Kurniawan Naim Angkat Sumpah

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mengucapkan tahniah kepada Mohd Kurniawan Naim Moktar yang telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan pagi ini di Dewan Rakyat.

“Tahniah diucapkan kepada YB Naim. Semoga beliau dapat meneruskan legasi khidmat dan perjuangan yang telah dibina oleh Almarhum Datuk Seri Bung Moktar Radin, khususnya dalam membawa suara rakyat Kinabatangan,” kata Dr Zambry.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Kinabatangan atas kepercayaan yang diberikan kepada Mohd Kurniawan Naim.

“Semoga beliau terus diberikan kekuatan untuk berkhidmat dengan penuh amanah, memperjuangkan kepentingan rakyat, dan menyumbang kepada kemajuan Kinabatangan, Sabah, dan negara,” tambah beliau.

Sabtu lalu, Mohd Kurniawan Naim mempertahankan kemenangan BN di kerusi Parlimen Kinabatangan setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) itu.

Beliau memperoleh 19,852 undi, iaitu majoriti 14,214 menewaskan pencabarnya, Datuk Saddi Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau apabila cuma mendapat 5,638 undi, manakala seorang lagi Goldam Hamid (Bebas) memperoleh 946 undi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO