PRN Johor, Melaka Berlandaskan Realiti… Tolak Politik Ugutan – Syed Hussien
KUALA LUMPUR, 27 Jan – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Syed Hussien Syed Abdullah menegaskan bahawa sebarang perbincangan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor perlu dilaksanakan secara matang serta berpaksikan realiti politik semasa negeri.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang berkata ia wajar dilaksanakan secara berhemah dan bukan melalui tekanan atau kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan kestabilan politik.
“Sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi mestilah dibuat secara matang, berhemah dan berpaksikan realiti politik negeri termasuk kekuatan jentera, penerimaan rakyat serta rekod khidmat wakil rakyat sedia ada.
“Kenyataan yang membayangkan kemungkinan pertandingan tiga penjuru sekiranya rundingan tidak memihak kepada sesuatu pihak adalah tidak selari dengan semangat perpaduan dan berisiko menggugat kestabilan politik negeri, sekali gus menjejaskan kepentingan rakyat,” katanya.
Syed Hussien berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah, Khalid Abdul Samad, berkaitan tuntutan pembahagian kerusi bagi PRN Melaka dan Johor antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Mahkota berkata kedudukan BN sebagai parti dominan dalam DUN Johor adalah hasil mandat jelas dan sah daripada rakyat melalui proses demokrasi.
Katanya kepercayaan ini diberikan berdasarkan rekod perkhidmatan, keupayaan mentadbir serta kehadiran berterusan wakil rakyat BN di lapangan.
“Prinsip menghormati penyandang bukanlah satu bentuk kezaliman politik, sebaliknya satu penghormatan terhadap keputusan pengundi yang telah memilih wakil mereka. Menolak prinsip ini secara terbuka seolah-olah mengetepikan suara rakyat Johor yang telah membuat pilihan berdasarkan prestasi dan kepercayaan.
“Keutamaan kami di Johor adalah memastikan kestabilan kerajaan negeri, kesinambungan dasar pembangunan dan kebajikan rakyat terus menjadi agenda utama bukan mencetuskan polemik terbuka yang hanya mengundang ketidaktentuan politik.
“BN Johor akan terus mempertahankan mandat rakyat, sambil kekal komited bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan demi masa depan Johor yang stabil, makmur dan sejahtera,” ujar beliau. – UMNO Online
