Pasca-PAU2025: Realitikan “Rumah Bangsa” Demi Kebangkitan Melayu/Islam
PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2025 terbukti bukan sekadar satu tradisi acara tahunan sebaliknya ia adalah cermin masa depan malah menjadi pentas penentu hala tuju perjuangan Melayu/Islam di tanah air ini.
Di tengah kancah politik yang semakin mencabar dan berpecah-belah, PAU kali ini menegaskan kembali aspirasi lama yang tidak pernah pudar namun amat penting iaitu penyatuan bangsa Melayu dan umat Islam. Hal ini bukan sekadar impian idealistik, tetapi satu harapan yang boleh direalisasikan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam ucapan penggulungannya, menegaskan bahawa UMNO kini menjemput semua pihak untuk kembali ke pangkuan, meraih dan merangkul mereka yang pernah meninggalkan parti, membuka ruang bagi kolaborasi agung parti-parti Melayu/Islam dalam satu wadah yang disebut “Rumah Bangsa”. Sesungguhnya konsep ini adalah lambang keberanian untuk menyemai semula semangat nasionalisme yang pernah menjadi nadi perjuangan UMNO menjelang kemerdekaan pada tahun 1957.

Sejarah membuktikan bahawa UMNO tidak sekadar parti politik kerana ia lahir daripada gerakan kebangsaan yang menyatukan pelbagai lapisan rakyat Tanah Melayu demi satu matlamat yang lebih besar. Dari sinilah lahir semangat nasionalisme yang menyalakan api kemerdekaan lantas impak terbesar menjadi nikmat kepada semua apabila gerakan ini menjadikan tanah air kita bebas daripada cengkaman penjajah.
Kini, sejarah itu menjadi panduan iaitu satu aspirasi untuk melihat Melayu dan Islam bersatu dalam satu Rumah Bangsa. Ia adalah kesinambungan dari perjuangan lama yang mahu melihat rakyat bangkit dengan satu suara, satu hati, dan satu tekad. PAU2025 bukan sahaja menghidupkan nostalgia perjuangan, tetapi juga menyalakan kembali azam kolektif untuk menghadapi realiti politik masa kini dengan penuh strategi dan keteguhan.
“Rumah Bangsa” bukan sekadar slogan politik tetapi ia menjadi platform transformasi yang membolehkan parti-parti Melayu/Islam duduk bersama dalam kerangka inklusif tanpa mengabaikan prinsip perjuangan masing-masing.
Melalui Rumah Bangsa ini, semua pihak mampu berinteraksi, menggalakkan perbincangan antara ahli UMNO, sayap Pemuda, akar umbi, dan parti-parti lain yang berpaksikan identiti Melayu/Islam, bagi membina jaringan perpaduan yang kukuh.
Semangat penyatuan ini juga mendapat sokongan daripada pemimpin bahagian yang menekankan bahawa agenda ini harus melangkaui sempadan UMNO. Kolaborasi dengan parti-parti lain termasuk Pas, Bersatu, Pejuang, dan Amanah adalah satu strategi untuk memperkukuh perpaduan Melayu/Islam di peringkat nasional, malah melangkau ideologi politik kerana terbuka juga kepada apa-apa persatuan dan NGO sekalipun.
Ini adalah bukti bahawa aspirasi penyatuan tidak boleh hanya menjadi retorik elit, tetapi mesti menjadi gerakan akar umbi, melibatkan setiap lapisan rakyat yang mahu melihat bangsa Melayu/Islam bangkit dengan satu tekad dan satu suara.

Tak dinafikan ada kritikan dan keraguan dari beberapa pihak berkaitan usaha ini namun aspirasi penyatuan memerlukan strategi yang matang, kefahaman bersama, dan kesediaan untuk berkompromi. Realiti politik Malaysia tidak boleh dipandang enteng waima kini UMNO sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, dan kestabilan politik adalah tanggungjawab bersama. Presiden menegaskan bahawa usaha penyatuan ini bukan bertujuan untuk meruntuhkan kerajaan, tetapi memperkukuh kedudukan Melayu/Islam tanpa menjejaskan keseimbangan nasional.
Ini adalah cabaran yang harus dihadapi dengan bijaksana agar “Rumah Bangsa” bukan sekadar wacana kosong, tetapi realiti yang mampu menyatukan hati dan minda rakyat.
PAU2025 menegaskan bahawa masa depan UMNO dan bangsa Melayu terletak pada keberanian untuk melihat jauh ke hadapan. Konsep “Rumah Bangsa” adalah titian untuk mengembalikan semangat kebangsaan, mengukuhkan identiti Melayu/Islam, dan memacu perpaduan kolektif yang lebih mantap. Ia adalah manifestasi aspirasi sejarah yang tidak boleh dilupakan, sambil menyesuaikan diri dengan cabaran moden yang memerlukan ketahanan, kesabaran, dan strategi yang tepat.
“Rumah Bangsa” mampu dijelmakan sebagai simbol kebangkitan Melayu/Islam yang ingin melihat masa depan bersatu, bukan bersaing dalam perpecahan. PAU2025 adalah titik tolak bagi era baru, iaitu UMNO berperanan sebagai pemacu perpaduan dan kekuatan kolektif rakyat Malaysia.
Dalam naratif politik Malaysia yang semakin kompleks, “Rumah Bangsa” bukan sekadar retorik. Ia adalah kenyataan yang menuntut tindakan, komitmen, dan kesediaan semua pihak untuk bersatu.
PAU2025 bukan penutup cerita, tetapi pembuka lembaran baru bagi kebangkitan Melayu/Islam di pentas politik Malaysia. Apa yang pasti, perjuangan UMNO tetap relevan, dulu, kini, selamanya – InsyaAllah!

Datuk Norsabrina Mohd Noor
Ahli UMNO
Mantan ADUN Barisan Nasional
