Mohd Rafi Aplikasi Politik Sebagai Ibadah, Terus Santuni Rakyat Labuan

LABUAN, 27 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, mengaplikasi pendekatan politik sebagai satu ibadah dengan turun padang, mendengar, dan membantu rakyat.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan,bersama ahli-ahli jawatankuasanya melaksanakan program turun padang termasuk yang terbaru mengadakan lawatan ke Pasar UTC Labuan bagi bertemu dan menziarahi para peniaga serta pengunjung.

Selain bertanya khabar dan mendengar luahan mereka, Mohd Rafi turut membeli barangan keperluan dan bersedekah, menjadikan aktiviti itu sebagai gabungan amal dan sokongan kepada ekonomi tempatan.

“Lawatan seperti ini bukanlah kali pertama saya lakukan. Niat program sebegini adalah untuk membantu peniaga-peniaga kecil, khususnya di Pasar UTC, yang terjejas akibat kekurangan pengunjung. Apa yang termampu, kita bantu dengan kita beli untuk keperluan sendiri dan dikongsi bersama orang ramai,” katanya.

Beliau menambah bahawa pendekatan turun padang, mendengar, membantu dan berkhidmat adalah prinsip yang beliau pegang dalam politik.

“Kita jadikan politik sebagai satu ibadah,” ujarnya.

Dalam perkembangan tersebut, beliau juga meneruskan santunan kepada masyarakat termasuklah menyertai Kenduri Arwah Sekampung yang diadakan di Surau Kampung Tanjung Kubong dan Surau Kerupang Tiga sempena bulan Syaaban.

Jelasnya, program sedemikian merupakan amalan tahunan umat Islam di Labuan, iaitu kenduri arwah dijalankan secara bersama bagi mendoakan mereka yang telah meninggal dunia serta mengeratkan silaturahim komuniti.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi Surau dan Ketua Kampung yang menjemput saya dan rombongan. Kehadiran ini diharap dapat terus mengeratkan ukhwah persaudaraan dalam kalangan masyarakat, insya-Allah,” katanya.

Menurut beliau, amalan seperti ini bukan sahaja menyemai semangat kebersamaan tetapi juga mencerminkan nilai sosial dan keprihatinan pemimpin terhadap rakyat.

Mohd Rafi juga yakin dengan pendekatan politik yang berlandaskan ibadah dan kepedulian terhadap rakyat mampu membawa perubahan positif serta memupuk semangat kekeluargaan dalam masyarakat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO