Mohd Kurniawan Naim Angkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR, 27 Jan – Ahli Parlimen Kinabatangan baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar, 32, mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dengan turut disaksikan ahli-ahli Parlimen di kedua-dua blok.

Mohd Kurniawan Naim mempertahankan kemenangan BN di kerusi Parlimen Kinabatangan setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu, meneruskan legasi bapanya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau tampil dengan kemenangan bergaya selepas memperoleh 19,852 undi, iaitu majoriti 14,214 menewaskan pencabarnya, Datuk Saddi Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau apabila cuma mendapat 5,638 undi, manakala seorang lagi Goldam Hamid (Bebas) memperoleh 946 undi.
Pada PRK Sabtu lalu, seramai 48,526 pengundi layak mengundi, yang membabitkan 36 pusat mengundi serta 119 saluran termasuk satu undi pos dan satu undi awal.
PRK diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas kematian Bung Moktar pada 5 Disember lalu, iaitu selepas beliau memenangi kerusi DUN Lamag dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 29 November 2025.- UMNO Online
