‘Masjid Medan Penyatuan Hati, Bukan Pertembungan Ideologi Politik Sempit’

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah berpandangan masjid perlu berfungsi sebagai ruang yang selamat, inklusif dan menyatukan khususnya untuk mendidik golongan belia dengan nilai keimanan, akhlak mulia serta semangat perpaduan.

Ketua Penerangannya, Mohd Safwan Jaafar berkata selaras dengan peranan tersebut campur tangan politik kepartian di dalam masjid berpotensi mengelirukan peranan sebenar institusi masjid.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman, atas perkenan dan ketegasan Tuanku berhubung penegasan bahawa masjid hendaklah kekal sebagai tempat ibadah yang bebas daripada sebarang unsur politik kepartian.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah mengambil maklum serta menzahirkan sokongan terhadap titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah yang menegaskan bahawa masjid hendaklah kekal sebagai tempat ibadah yang bebas daripada sebarang unsur politik kepartian.

“Masjid sewajarnya menjadi medan penyatuan hati, bukan medan pertembungan ideologi atau kepentingan sempit,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau penegasan Tuanku Sultan Kedah ini juga dilihat sebagai langkah pencegahan yang berhemah bagi mengelakkan perbezaan pandangan politik mencetuskan ketegangan, perpecahan dan polemik yang boleh menjejaskan keharmonian umat Islam

Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua pihak agar menghormati titah Sultan Kedah dan bersama-sama memainkan peranan memelihara fungsi masjid sebagai pusat ibadah, tarbiah dan pembinaan ummah demi memastikan kestabilan sosial, perpaduan rakyat serta masa depan negeri Kedah Darul Aman yang harmoni.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah percaya bahawa kebijaksanaan institusi Raja dalam memelihara kesucian masjid mencerminkan komitmen berterusan dalam menjaga agama Islam sebagai agama Persekutuan, selari dengan prinsip wasatiyyah dan keadilan yang menjadi teras pemerintahan di negeri Kedah,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO