Kerajaan Perkukuh Kesepaduan Jentera Pelancongan Menjelang VM2026

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Kerajaan memperkukuh penyelarasan merentas kementerian bagi memacu sektor pelancongan negara menjelang Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian menerusi laman Facebooknya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) Bil. 1/2026 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama strategik antara kementerian dan agensi berkaitan, semalam.

Menurutnya, industri pelancongan kekal sebagai antara pemacu utama ekonomi negara dengan rekod 42.2 juta ketibaan pelawat sepanjang tahun 2025, menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Pencapaian ini membuktikan asas yang kukuh telah dibina bagi memastikan VM2026 dapat dilaksanakan secara tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi,” katanya.

Ujarnya, dalam mesyuarat tersebut, penekanan turut diberikan kepada pendekatan whole of government yang melibatkan aspek pengangkutan, keselamatan, penerbangan, komunikasi dan ekonomi bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa, memanjangkan tempoh tinggal serta meningkatkan perbelanjaan pelancong.

Selain itu katanya, beberapa isu dasar turut dibincangkan termasuk program Malaysia My Second Home (MM2H), Program Visa Premium (PVIP), kawal selia kenderaan pelancongan, pembangunan hab transit umrah serta potensi pelancongan kapal persiaran.

Ahmad Zahid menegaskan, semua inisiatif tersebut memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta dan penggiat industri, dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai peneraju utama.

“Insya-Allah, dengan kesepaduan semua pihak, Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan mengangkat Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO