JKR Komited Pastikan Penyelenggaraan Penuhi Tahap Terbaik – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Kementerian Kerja Raya, menerusi agensi Jabatan Kerja Raya (JKR) amat komited dalam usaha memastikan perkhidmatan penyenggaraan jalan raya dapat memenuhi tahap yang terbaik seterusnya menyediakan jalan raya yang selamat dan selesa kepada pengguna jalan raya.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, pelaksanaan projek pembinaan dan penyenggaraan jalan oleh JKR sentiasa dikawal selia oleh pasukan projek yang kompeten dari aspek teknikal, selaras dengan spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan kontraktor yang dilantik bertanggungjawab memastikan kerja-kerja pembinaan dilaksanakan mengikut keperluan kualiti yang telah ditetapkan.

“Kementerian Kerja Raya melalui JKR tiada halangan dan bersedia untuk mempertimbangkan cadangan supaya akreditasi khas dikenakan ke atas kontraktor, khususnya bagi memantau dan meningkatkan kualiti kerja turapan jalan, agar hasil pembinaan lebih berkualiti, tahan lasak dan memenuhi jangka hayat reka bentuk.

“Usaha memperluas penggunaan teknologi canggih, JKR sentiasa cakna dan bersedia dalam usaha memperluas penggunaan teknologi canggih bagi meningkatkan jangka hayat jalan dan memelihara sistem jalan raya termasuk factor pertambahan bebanan trafik kenderaan berat.

“Pertambahan had beban kenderaan berat perlu disokong oleh kajian teknikal yang menyeluruh, kerana ia melibatkan aspek perwartaan, kerjasama antara kementerian dan agensi berkaitan antaranya Kementerian Pengangkutan, serta implikasi terhadap keupayaan jalan dan jambatan sedia ada, dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang bertanya adakah Kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan untuk mensyaratkan akreditasi khas ke atas kontraktor bagi memantau kualiti kerja turapan jalan serta usaha memperluas penggunaan teknologi canggih bagi meningkatkan jangka hayat jalan dan memelihara sistem jalan raya termasuk faktor pertambahan bebanan trafik kenderaan berat.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menambah Kementerian ini melalui JKR juga sentiasa menggalakkan penggunaan reka bentuk dan bahan turapan berdaya tahan tinggi.

“Kementerian sentiasa menggalakkan penggunaan reka bentuk dan bahan turapan berdaya tahan tinggi melalui Spesifikasi Pembinaan Jalan JKR/SPJ/2008, Seksyen 4 Flexible Pavement, beberapa jenis bahan turapan permukaan jalan terubahsuai berprestasi tinggi telah diperkenalkan.

“Bahan-bahannya seperti diperkenalkan antaranya Porous Asphalt; Stone Mastic Asphalt (SMA); Gap Graded Asphalt (GGA); Natural Rubber Modified Asphalt (NRA); Crumb Rubber Modified Asphalt (CRMA); Fibre Modified Asphalt (FMA); Cup Lump Modified Asphalt (CMA) dan Recycled Plastic Modified Bitumen (PMA – Petronas),” katanya lagi.

Ujarnya, bahan-bahan ini menggunakan bitumen terubahsuai gred PG76 yang mempunyai ketahanan tinggi terhadap lekukan (rutting) dan amat sesuai digunakan pada jalan yang menanggung trafik kenderaan berat yang tinggi di Malaysia. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO