Ahmad Zahid Doakan Naim Moktar Kuat, Bijaksana Pikul Amanah Rakyat
KUALA LUMPUR, 27 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendoakan agar Ahli Dewan Rakyat Kinabatangan yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar, dikurniakan kekuatan, kebijaksanaan serta keteguhan hati dalam memikul amanah besar sebagai wakil rakyat.
Menurut beliau, amanah yang dipertanggungjawabkan kepada Naim bukan sekadar satu jawatan, sebaliknya tanggungjawab untuk menjaga kepercayaan rakyat serta mengangkat suara Kinabatangan dengan penuh integriti dan keikhlasan.

“Jadilah wakil rakyat yang sentiasa dekat dengan rakyat, berani memperjuangkan kepentingan kawasan dan konsisten berpegang pada prinsip,” katanya yang juga Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO.
Ahmad Zahid turut menyatakan keyakinan bahawa Naim mampu meneruskan khidmat kepada rakyat dengan penuh dedikasi, berlandaskan nilai perjuangan dan pengorbanan yang telah ditunjukkan sebelum ini.
Beliau berharap setiap langkah dan usaha YB Naim Moktar dalam Dewan Rakyat akan dipermudahkan serta diberkati Allah SWT demi kesejahteraan rakyat Kinabatangan seluruhnya.

“Insya-Allah, dengan sokongan semua pihak, khidmat dan sumbangan Allahyarham Bung Moktar akan terus hidup melalui usaha dan komitmen anakandanya di Dewan Rakyat. Semoga setiap langkah dipermudahkan dan diberkati oleh Allah SWT.”
Pagi tadi, Naim mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat di hadapan Speaker Tan Sri Johari Abdul dengan turut disaksikan ahli-ahli Parlimen di kedua-dua blok. – UMNO Online
