Usaha Diplomasi Berterusan, Yakinkan Negara Asing Keselamatan Timur Sabah

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan pihaknya komited mempergiat usaha diplomasi dan libat urus dengan negara-negara asing bagi meyakinkan mereka terhadap tahap keselamatan di Timur Sabah.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata ia sekali gus bagi menangani kebimbangan berkaitan nasihat perjalanan yang masih dikeluarkan kepada rakyat masing-masing.

“Hasil daripada rundingan Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelancongan, kami bersama-sama menjalankan usaha untuk kita meyakinkan negara-negara ini.

“Apa saja peluang untuk  berbincang dalam hubungan dua hala ataupun pelbagai hala, kami telah membentangkan betapa keadaan di Timur Sabah ini telah menjadi kawasan yang bukan lagi seperti dulu kawasan yang banyak lanun-lanun mengancam keselamatan.

“Kita bawa perwakilan-perwakilan asing yang berada di Kuala Lumpur ini ke Sabah terutamanya negara yang mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat mereka. Setiap tahun kita bawa mereka dan pastikan supaya mereka lihat sendiri keadaan tidak seperti dulu,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini menjawab kebimbangan Datuk Verdon Bahanda (Bebas-Kudat) berkenaan nasihat perjalanan ke pantai timur Sabah oleh beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil pengawasan dan kawalan keselamatan yang berterusan khususnya di kawasan Kudat, Semporna dan Lahad Datu menyaksikan peningkatan ketara jumlah pelancong asing sekali gus menjadikan Timur Sabah sebagai tumpuan pelancong.

“Itu sebabnya, sekarang ini Lapangan Terbang Tawau dan Lapangan Terbang Sandakan perlu dinaik taraf kerana ramainya pelancong. Peningkatan pelancong daripada Jepun amat ketara iaiti 18.9 peratus kenaikan jumlah pelancong baru dari Jepun, Korea dan yang lain.

“Malah rakyat di kawasan itu terutamanya Pulau Berhala dan Pulau Jambongan semasa saya melawat mengucapkan terima kasih kerana sudah boleh keluar ke laut mencari mata pencarian… nelayan tidak lagi diganggu oleh lanun-lanun yang dulunya merompak dan merampas hasil tangkapan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO