UMNO Labuan Terus Dekat Di Hati Rakyat, Komited Perkukuh Parti Menjelang PRU-16

LABUAN, 26 Jan – UMNO Bahagian Labuan terus memperkukuhkan peranannya sebagai parti yang dekat dengan rakyat menerusi pelaksanaan Program Peduli Rakyat serta pengukuhan organisasi parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, berkata pendekatan turun padang melalui Program Peduli Rakyat terbukti berkesan apabila menerima sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.

Menurut beliau, program yang dilaksanakan minggu ini bersama Ketua Wanita UMNO Labuan, Niswati Tarji, serta kepimpinan Wanita UMNO Labuan itu disambut mesra oleh jentera parti dan keluarga pengantin yang terlibat.

“Sambutan yang kami terima amat luar biasa, bukan sahaja daripada jentera penggerak program, malah daripada keluarga pengantin yang begitu teruja menantikan kehadiran rombongan kami,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut melahirkan rasa terharu dengan penerimaan masyarakat terhadap kehadiran UMNO Labuan, termasuk sambutan positif terhadap Team DMR yang menjadi perhatian ramai.

“Kehadiran Team DMR mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga ramai yang meminta baju DMR. Insya-Allah, saya akan berusaha untuk memenuhi permintaan tersebut,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Mohd Rafi memaklumkan beliau telah mempengerusikan Mesyuarat UMNO Bahagian Labuan yang pertama bagi tahun 2026, yang menyaksikan kehadiran hampir 100 peratus ahli jawatankuasa bahagian serta Ketua-Ketua Cawangan UMNO.

“Alhamdulillah, kuorum mesyuarat hampir 100 peratus dengan semangat dan komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh barisan AJK Bahagian serta Ketua-Ketua Cawangan,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai perkara penting telah dibincangkan dalam mesyuarat tersebut, khususnya berkaitan hala tuju parti serta usaha membina dan memperkukuhkan kekuatan UMNO sebagai persediaan menghadapi PRU-16 yang berkemungkinan berlangsung pada tahun hadapan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan parti yang telah mengemukakan pelbagai cadangan dan idea bernas demi kelangsungan perjuangan UMNO.

“Antara maklum balas yang disampaikan oleh pemimpin akar umbi ialah bahawa UMNO tetap bekerja dan memperjuangkan nasib rakyat walaupun tewas dalam pilihan raya dan tidak memegang jawatan wakil rakyat.

“UMNO tewas pilihan raya, UMNO bukan wakil rakyat, tetapi UMNO tetap bekerja dan memperjuangkan nasib rakyat seolah-olah kita menang pilihan raya,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Rafi turut menzahirkan rasa syukur atas kemenangan Naim Moktar dan Mohd Ismail Ayob (Miha) di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, yang disifatkan sebagai isyarat kebangkitan parti.

“Keputusan ini merupakan suntikan semangat yang amat bermakna kepada ahli-ahli akar umbi untuk terus istiqamah, bersatu dan bekerja lebih kuat demi parti,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan komitmen UMNO untuk terus berkhidmat kepada masyarakat, khususnya di Labuan.

“UMNO lahir daripada rakyat, berjuang bersama rakyat, dan akan sentiasa kembali kepada rakyat. Insya-Allah, UMNO akan terus komited berkhidmat dan menabur bakti kepada masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO