Tabika KEMAS: Pelan Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Pilihan Ibu Bapa – Mohd Asna

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin berkata kemasukan ke beberapa Tabika KEMAS di Negeri Sembilan seperti ‘pisang goreng panas’ apabila mendapat permintaan yang terlalu tinggi daripada ibu bapa, kebanyakannya berlaku di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berkata, fokus utama Tabika KEMAS adalah pelaksanaan Pelan Digital Pendidikan Awal Kanak-kanak yang bertujuan memperkukuhkan asas pembelajaran selari dengan perkembangan teknologi.

“Fenomena Tabika KEMAS ini berlaku susulan daripada peningkatan kualiti pendidikan yang ditawarkan setaraf dengan swasta dan fokus utama tahun ini terarah kepada pelaksanaan Pelan Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Tabika KEMAS sentiasa mengekalkan yuran yang sangat minimum iaitu antara RM20 hingga RM50 dan makanan percuma, menjadikan ia pilihan utama ibu bapa dan ada beberapa tempat Tabika KEMAS di seluruh negara ibu bapa hanya perlu membayar yuran RM5 sahaja dan makan percuma.

“Setiap permohonan di Tabika KEMAS pula akan melalui tapisan, Tabika KEMAS akan utamakan ibu bapa pemohon yang kurang berkemampuan dan tidak menggunakan konsep siapa cepat dia dapat,” katanya kepada UMNO Online.

Asna yang juga Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Negeri Sembilan menjelaskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperkenalkan dan memperkukuh modal insan termasuk pembaharuan dalam sistem pendidikan Tabika KEMAS.

“KKDW turut merangka strategi pemerkasaan pendidikan desa melalui inisiatif utama, antaranya mewujudkan Pra-Tahfiz Tabika KEMAS, TVET tahfiz, dan pendidikan digital merentas desa iaitu smart classroom@KEMAS serta melahirkan huffaz cilik melalui program PeliTa@KEMAS.

“Lebih 50 peratus Tabika KEMAS di seluruh negara akan dinaik taraf bagi memastikan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak yang lebih berkualiti. KKDW juga telah memperuntukkan berjumlah RM40 juta kepada KEMAS bagi menaik taraf serta membaik pulih Tabika dan Taska di seluruh negara,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Asna Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban memaklumkan bahawa Tabika KEMAS khas untuk kanak-kanak autistik akan mula dibina di setiap negeri mulai tahun ini bagi memastikan akses pendidikan awal yang inklusif dan mampu milik dapat disediakan.

“Langkah menubuhkan tabika khusus itu adalah bagi memastikan akses pendidikan awal yang inklusif dan mampu milik disediakan untuk anak-anak autistik di seluruh negara serta mengambil kira ekosistem pendidikan KEMAS yang mempunyai keupayaan bagi menawarkan pendidikan khas ini berjalan seperti yang dirancang.

“Jumlah kanak-kanak yang mendaftar menunjukkan trend yang konsisten sejak 2021, dengan seramai 205,716 kanak-kanak, meningkat kepada 207,965 orang pada 2022 dan 216,322 orang pada 2023. Bagaimanapun, jumlah tersebut sedikit menurun kepada 216,029 kanak-kanak pada 2024, diikuti 210,165 orang pada 2025 dan 195,966 kanak-kanak setakat 2026,” jelasnya.

Dalam pada itu, Asna merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas komitmen memastikan Tabika KEMAS terus maju dan relevan dengan keperluan semasa.

“Alhamdulillah… terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerana telah memastikan Tabika KEMAS maju dan sentiasa melangkah ke hadapan.

“…dan tidak ketinggalan juga terima kasih dan penghargaan kepada guru-guru Tabika KEMAS kerana bakti dan pengorbanan para guru-guru telah meletakkan KEMAS menjadi institusi pendidikan awal.

“Tabika KEMAS turut melahirkan mereka yang kini bergelar pemimpin, pentadbir, teknokrat, profesional, pendidik, dan pengusaha yang telah menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan sebuah negara bangsa,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO