Memacu TVET Ke Arah Sektor Kreatif Digital Berimpak Tinggi – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 26 Jan – Kerajaan komited memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memberi penekanan kepada sektor kreatif digital, khususnya industri animasi yang berpotensi tinggi dalam memacu ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, animasi bukan sekadar medium kreatif, malah merupakan satu ekosistem ekonomi yang mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi serta mengangkat imej Malaysia ke persada global.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas menerima taklimat mengenai satu inisiatif baharu melibatkan projek nasional berkaitan TVET yang dirangka untuk memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pendekatan industri kreatif dan animasi berimpak tinggi.
Menurut beliau, pendekatan yang menghubungkan latihan TVET, keperluan industri dan penciptaan harta intelek (IP) tempatan wajar diteroka secara serius dan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelestarian serta daya saing jangka panjang.
“Industri animasi mempunyai potensi besar untuk menjadi pemangkin kepada ekonomi kreatif negara. Ia bukan sahaja membuka ruang pekerjaan, malah membina nilai intelektual dan komersial yang mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa agenda TVET akan terus diperkukuh supaya kekal relevan dengan keperluan industri masa hadapan, selari dengan perkembangan pesat sektor kreatif digital.
“Insya-Allah, TVET akan terus menjadi landasan utama dalam melahirkan modal insan berkualiti, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi baharu,” tambah beliau lagi. – UMNO Online
