Johor Terus Kukuh Sebagai Destinasi Pelaburan Pilihan, Hab Industri Bernilai Tinggi Serantau
JOHOR BAHRU, 26 Jan – Johor akan terus memposisikan diri sebagai destinasi pelaburan pilihan serta hab teknologi dan industri bernilai tinggi di peringkat serantau, sejajar dengan aspirasi negeri untuk menjadi pusat industri hijau dan peralihan tenaga di Asia Tenggara.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaburan EcoCeres Renewable Fuels di Tanjung Langsat membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap ekosistem pelaburan Johor yang stabil, progresif dan berdaya saing.

Menurut beliau, projek tersebut telah mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan bergaji premium, dengan 185 daripadanya diisi oleh anak Johor, melibatkan julat gaji antara RM3,000 hingga RM15,000 bergantung kepada kepakaran dan kemahiran teknikal.
“Syukur Alhamdulillah, pelaburan EcoCeres Renewable Fuels di Tanjung Langsat telah mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan bergaji premium dan berkualiti tinggi, dengan 185 daripadanya diisi oleh anak-anak Johor.
“Peluang pekerjaan di sini menawarkan julat gaji premium sekitar RM3,000 hingga RM15,000, selari dengan tahap kepakaran, kemahiran teknikal serta teknologi operasi berintensif tinggi yang digunakan,” katanya
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya. selepas mengadakan lawatan ke fasiliti EcoCeres Renewable Fuels di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, sebuah syarikat global dalam pengeluaran bahan api mampan dan rendah karbon termasuk Sustainable Aviation Fuel (SAF).
Onn Hafiz turut memaklumkan bahawa EcoCeres kini telah memasuki fasa operasi dan memulakan penghantaran bahan api mampan ke pasaran antarabangsa, sekali gus meletakkan Johor dalam rantaian bekalan global bahan api masa hadapan.

Selain itu katanya syarikat berkenaan turut menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kebajikan & Pelajaran Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) sebagai komitmen tanggungjawab sosial korporat bagi menyokong pembangunan pendidikan, kemahiran dan latihan tenaga kerja tempatan.
“Berteraskan pendekatan ini, Johor akan terus memposisikan diri sebagai destinasi pelaburan pilihan serta hab teknologi dan industri bernilai tinggi di peringkat serantau.”
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Johor yakin pelaburan berimpak tinggi seperti ini akan memberi limpahan manfaat ekonomi secara langsung kepada rakyat serta menyokong hasrat menjadikan Johor negeri maju menjelang 2030. – UMNO Online
